Sunday, May 29, 2022

Tambah baik GST untuk ringankan beban rakyat: Ahli Parlimen Sibuti

Secara Rawak

MIRI: Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang hari ini menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan penambahan jumlah barangan dalam senarai yang tidak dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menurutnya, ini penting bagi menangani situasi hari ini dengan ekonomi yang semakin menghimpit serta kos sara hidup yang semakin melangit.

” Oleh kerana keadaan yang semakin mendesak ini, saya mencadangkan kerajaan melakukan penambahbaikan GST sifar, dengan meliputi sektor kesihatan, makanan, pengangkutan dan perumahan,” katanya dalam pertemuan eksklusif bersama sarawakvoice.com di sini.

Menurutnya, rakyat Malaysia menaruh harapan yang tinggi agar Jawantankuasa Khas Bagi Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dapat mencari kaedah terbaik dalam meringankan beban rakyat ketika ini.

” Kita berharap mereka dapat mencipta ramuan penyelesaian kerana impak bebanan itu sudah mula terasa,” tegasnya.

Sejak pengenalan GST katanya, memang terdapat barangan keperluan yang mengalami penurunan dan kenaikan.

” Tetapi yang kita kesalkan ialah terdapatnya pengusaha dan peniaga yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan dengan menggunakan alasan GST, sekali gus memberikan persepsi negatif terhadap sistem pencukaian itu sendiri,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan perlu lebih efektif dalam melaksanakan penguatkuasaan sedia ada, sambil tidak memberi muka kepada peniaga yang memanipulasikan harga ini.

Pada awal minggu ini, topik yang sama ditegaskan oleh Ahmad Lai sewaktu membahaskan titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Menyentuh penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan, Ahmad Lai berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan bertindak lebih kreatif dan inovatif dengan mewujudkan pelbagai aplikasi bagi membolehkan urusan dengan kerajaan dilakukan menerusi telefon pintar.

” Ini amat membantu memudahkan urusan harian memandangkan Malaysia adalah negara yang terawal dalam mengaplikasi ICT dalam sistem pentadbirannya.

Katanya, kita tahu bahawa transaksi di kaunter kerajaan sering melibatkan surat-menyurat.

” Oleh itu adalah lebih baik jika satu ‘system tracking’ atau sistem pengesan digunakan bagi setiap urusan kerajaan, seperti sistem yang diguna pakai oleh poslaju dalam mengesan status permohonan yang dilakukan pelanggan.

Pada masa yang sama katanya, pihak kerajaan juga boleh mewujudkan aplikasi yang membolehkan rakyat berinteraksi terus dengan mereka.

” Ini termasuklah membuat aduan, menilai kepuasan pelanggan terhadap agensi atau jabatan … yang boleh dimuat naik dari Playstore atau App Store,” katanya lagi. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru