Tuesday, June 28, 2022

Hari ini 29 tahun lalu, Krisis Ming Court:  Perkelahian politik Taib, Rahman Yakub di Sarawak

Secara Rawak

Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub_0000
Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub

KUCHING:  Pada hari ini 29 tahun lalu, politik Sarawak berdentum dan bergoncang kuat. Mantan Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub telah membuat kenyataan di Kuala Lumpur meminta  agar Datuk Abdul Taib Mahmud mengundur diri sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Beliau juga mencadangkan agar pilihan raya tidak akan diadakan. Kumpulan penentang berkehendakkan supaya Dewan Undangan negeri (DUN) mengadakan persidangan supaya usul undi tidak percaya kepada Taib dapat dikemukakan.

David Tiong sekutu Rahman Yakub mengeluarkan kenyataan  di kediaman Noor Tahir pada 11 Mac 1987, kepada para wartawan bahawa kumpulan 28 ADUN BN telah membuat keputusan. Dalam mesyuarat di Kuala Lumpur pada 10 Mac mereka memutuskan untuk mengemukakan usul “hilang kepercayaaan” terhadap Taib Mahmud.

Beliau menyeru rakyat untuk menerima Noor Tahir sebagai Ketua Menteri baharu. Noor Tahir sebenarnya berada dalam dilema, adakah rancangan ini suatu keputusan yang serius dan benar?

Tidak siapa yang tahu kecuali Noor Tahir  sendiri. Noor Tahir  telah melakukan apa-apa yang telah disuruh beliau lakukan, iaitu pergi ke DUN, Astana dan kemudian Pejabat Ketua Menteri. Segala percaturan dan plot dalam drama ini diarah oleh seorang pengarah drama yang bijak dan berpengalaman  luas dalam politik.

Sebenarnya, pada pertengahan tahun 1980-an, tersebar berita dalam kalangan rakyat Sarawak bahawa hubungan antara Ketua Menteri Datuk Abdul Taib Mahmud dengan Tuan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun  Abdul Rahman Yakub, bapa saudara Taib, tidak begitu baik. Taib Mahmud telah menggantikan Rahman Yakub sebagai Ketua Menteri pada tahun 1981.

Taib menjadi calon pilihan kerana dianggap lebih kanan dan mempunyai pengalaman luas. Lagipun, dari segi kedudukan, beliau ialah orang nombor dua dalam parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tulang belakang Barisan Nasional di Sarawak. Kalaupun ada nama lain yang dapat dicalonkan, pemimpin berkenaan ialah Sulaiman Haji Daud dan Alfred Jabu.

Tetapi, sudah pasti Abdul Rahman Yakub lebih cenderung memilih Taib kerana hubungan kekeluargaan dan senioriti dalam parti.

Bagi memungkinkan Taib balik menjadi Ketua Menteri, beliau yang ketika itu menjadi Menteri di peringkat Persekutuan, telah bertanding di Sebandi. Beliau memenangi kerusi itu tanpa pertandingan kerana pembangkang atau calon Bebas sedar bahawa peluang untuk mengalahkan Taib di situ adalah tipis. Lagipun, mereka tahu bahawa Taib bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Abdul Rahman Yakub. Abdul Rahman mengundur diri sebagai Ketua Menteri pada 26 Mac 1981.

Perkelahian dan hubungan tegang antara Taib dan Abdul Rahman Yakub pada mulanya tidak didedahkan oleh akhbar, tetapi bagi sebahagian rakyat Sarawak, khususnya dalam kalangan ahli politik, hubungan tidak selesa antara dua orang pemimpin Sarawak itu bukan rahsia lagi.  Ramai yang berpendapat ia tidak lebih daripada membabitkan dua bersaudara dan lebih sebagai urusan keluarga.

Pada awal pemerintahannya Taib sering berjumpa dengan Abdul Rahman di Astana di Petrajaya, kadangkala merungut terhadap prestasi sesetengah menteri yang didakwanya kurang memuaskan.

  Syak wasangka sering timbul antara kedua-dua pemimpin itu. Dikatakan, punca perhubungan tegang itu adalah kerana Abdul Rahman Yakub masih mahu campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan di bawah kepemimpinan Taib. Abdul Rahman Yakub pula melemparkan pelbagai tuduhan negatif terhadap Taib.

Bagi  pemerhati politik, hubungan keruh itu berpunca daripada politik balak, iaitu masing-masing mahu mendapat kawasan balak yang lebih. Bagi penganalisis dan pemerhati politik Sarawak, politik balak merupakan satu daripada strategi dua orang pemimpin Melanau itu untuk mengekalkan hegemoni politik mereka.

Bangkai gajah tidak akan dapat ditudung dengan nyiru. Hubungan keruh antara mereka berdua umpama api dalam sekam. Akhirnya, segalanya meledak dan diketahui oleh seluruh rakyat Sarawak.

 Orang Abdul Rahman Yakub dicantas daripada jawatan mereka, termasuk dalam parti seperti Wan Habib Wan Madzar, Haji Balia Munir dan Salleh Jafaruddin. Malah, Mustapha Ismail, orang kuat Abdul Rahman Yakub digugurkan daripada meneruskan jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif PBB.

Manakala pemimpin yang dikaitkan dengan beliau pula, menyerang dan mengkritik Taib termasuk dalam ucapan mereka di dalam Dewan Undangan Negeri.

Tanda awal bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungan mereka adalah dalam upacara rasmi di Bintulu. Menurut saksi, dalam satu majlis sempena Perayaan Ulang Tahun Ke-20 Sarawak Merdeka Dalam Malaysia, Taib telah bingkas bangun dengan rakan menteri beliau apabila Rahman Yakub, sebagai Gabenor mengambil kesempatan menyerang dan mengkritik Kerajaan Persekutuan.

Sebenarnya, mengikut atur cara beliau tidak sepatutnya berucap, tetapi Rahman Yakub bagai tidak lagi dapat mengekang kemarahannya.

Beliau melemparkan kritikan terhadap Kerajaan Persekutuan yang beliau dakwa tidak menepati janjinya untuk membina Pelabuhan Bintulu. Kecaman itu dilemparkannya selepas Menteri Persekutuan terbabit Tan Sri Chong Hon Nyan di majlis itu bahawa projek berkenaan akan ditangguhkan kerana masalah kekurangan peruntukan.  

 Pengumuman itu tidak menyenangkan beliau. Taib pula menganggap kritikan bapa saudaranya itu tidak kena, dan sebagai Yang di-Pertua Negeri, beliau tidak sepatutnya masuk campur dalam politik. Lagipun, Taib berasa dirinya diperkecil dan dihina oleh bapa saudaranya di hadapan ramai, sedangkan Abdul Rahman berpendapat sebaliknya.

Dengan kritikan itu, dia sebenarnya mecuba mempertahankan Taib. Taib tidak menghadiri majlis makan tengah hari dan terus terbang ke Kuching.

  Selepas peristiwa menggemparkan di Bintulu  itu Taib telah cuba berjumpa Rahman Yakub, namun beliau dikatakan hanya diberi izin untuk berjumpa pada hari keesokannya.  Mengikut sumber dalaman, Rahman Yakub dikatakan mahu Taib membawa seluruh anggota Kabinet ke Astana.

Beliau sebenarnya mahu meledakkan bom jangka, dengan mengumumkan mahu meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri.

 Sebaliknya, Ketua Menteri pula mahu berundur daripada jawatannya. Keadaan ketika itu memang tegang dan masing-masing pula cuba membantu untuk meredakan keadaan. Sebagai Yang di-Pertua Negeri, Abdul Rahman Yakub  enggan menerima surat peletakan jawatan Taib sebagai Ketua Menteri.

 Tetapi, isu peletakan jawatan itu kemudiannya dapat diselesaikan dengan campur tangan Perdana Menteri Datuk Dr. Mahathir Mohamad. Namun, bukan bererti segalanya sudah berakhir. Anehnya, dalam satu ucapan dalam “Majlis Negarawan”, iaitu satu daripada acara sempena sambutan perayaan kemerdekaan, Abdul Rahman Yakub mengisytiharkan keyakinan beliau terhadap kepemimpinan Taib sebagai Ketua Menteri.

   Perkhidmatan Rahman Yakub sebagai Yang di-Pertua Negeri telah tidak disambung apabila tempoh perkhidmatan beliau berakhir pada 1 April 1985. Kekosongan yang ditinggalkan beliau telah diisi oleh Datuk Ahmad Zaidie Adruce bin Mohamed Noor.  

Apakah maknanya apabila Rahman Yakub tidak lagi menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak? Adakah ini bermaksud hubungan beliau dengan Taib semakin meruncing dan tidak lagi dapat dipulihkan? Adakah perang dingin akan menjadi perang terbuka?

Dalam satu ucapan di hadapan ketua kaum dan ketua masyarakat, Abdul Rahman Yakub melepaskan ledakannya terhadap Taib. “Pemimpin perlu belajar untuk mendengar suara rakyat daripada hanya mendengar suara mereka sendiri. Kelihatannya dalam politik, sudah menjadi kebiasaan untuk menggigit tangan orang yang menyuap,” jelas beliau.

Sudah terang lagi bersuluh, kenyataan itu ditujukannya kepada Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak. Rahman Yakub mengatakan beliau tidak mahu mendabik dada bahawa tempoh pemerintahan beliau sebagai Ketua Menteri adalah tempoh yang terbaik bagi Sarawak.

Hubungan antara dua gajah politik itu semakin memburuk menjelang Jun 1986. Rahman Yakub kelihatan bersama-sama dengan Datuk Haji Salleh Jafaruddin yang menentang Wan Madzhi Wan Madzhar dalam pilihan raya umum di Oya. Dalam pilihan raya itu Wan Madzi yang mewakili Barisan Nasional menang dengan majoriti 1,755 undi.

Selepas kemenangan itu, Taib menjelaskan kepada media bahawa ia membuktikan bahawa rakyat menyokong politik pembangunan dan politik yang mengutamakan perpaduan; dan menolak politik pemecahan.

 Satu lagi peluang untuk Taib membuktikan kepada bapa saudaranya bahawa beliau masih mendapat sokongan padu rakyat adalah apabila Barisan Nasional memenangi 21 daripada 24 kerusi dalam pilihan raya umum 1986. Taib tidak punya pilihan kecuali kembali kepada rakyat. Pilihan raya mengejut diadakan. Apakah yang berlaku seterusnya? Ikuti siri kedua esok. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

SIRI # 1: Taib tewaskan puak Rahman Yakub dalam pilihan raya mengejut paling sengit 1987

SIRI # 3: Serangan Rahman Yakub terhadap Taib dalam Ming Court

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru