Thursday, June 30, 2022

DAP Sarawak mahu rampas kerusi Dayak

Secara Rawak

Apakah impian DAP Sarawak? Tentu  menang lebih banyak kerusi. Caranya, dengan memperluas wilayah penguasaan ke luar bandar.

Ini sebagaimana diketahui menerusi program Impian Sarawak, DAP juga ingin mencuba nasib dan merampas kerusi majoriti pengundi Dayak di luar bandar.

Tiada sesiapa yang harus menuduh DAP tamak kerana kalau bukan sekarang, bila lagi? Apatah lagi mereka sesungguhnya ada berusaha cuba merubah identiti mereka daripada parti dominan Cina kepada parti multietnik.  

Impian-Sarawak

Pertikaian pengagihan kerusi antara DAP dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum ada penyelesaian yang muktamad sehingga kini meskipun dijangkakan dapat diselesaikan menjelang penghujung bulan Mac ini.

Pengerusi DAP Sarawak YB Chong Chieng Jen telah beberapa kali membayangkan berlaku pertindihan kerusi yang diminta dengan PKR.

Rundingan pembahagian kerusi tersebut bertujuan membolehkan strategi satu lawan satu dengan calon BN.

Pada pengiraan DAP, mereka berkeyakinan boleh mengekalkan 12 kerusi yang dimenangi mereka pada 2011. Mereka berharap mengekalkan 15 kerusi yang ditandingi pada PRN Sarawak ke-10 itu sambil melobi tambahan kerusi di kawasan luar bandar.

Dalam masa sama PKR yang menang tiga kerusi pada PRN ke-10 sudah pasti mahu mengekalkan kesemua 49 kerusi yang ditandingi pada PRN ke-11.

Tiada sesiapa juga pun yang boleh menyalahkan mereka kerana merekalah yang memberanikan diri dan mengambil risiko dengan mula melabur di kerusi-kerusi berkenaan untuk mengelakkan kemenangan percuma kepada BN pada PRN lepas. Wajarkah DAP ‘hijack’ kerusi-kerusi tersebut daripada mereka sekarang?    

Yang pasti seperti biasa semua akan mengaku calon parti masing-masing mempunyai peluang lebih cerah untuk menang.                   

Persoalannya, mampukah DAP dan PKR mengulangi pencapaian sama pada 2011? Dalam edisi-edisi pilihan raya yang lepas mereka ada PAS.  

Pasti ramai juga yang ingin mengetahui kedudukan PAS, rakan seperjuangan mereka dalam mencipta sejarah, mengukir kemenangan bermakna dalam beberapa siri pilihan raya yang lepas.

Secara terus terang sama ada PAS merupakan salah satu komponen dalam gabungan baharu pembangkang itu tiada siapa yang pasti kerana – nak kata tidak, tidak juga, nak kata ya pun tidak juga – sekiranya mengambil senario politik di negeri Selangor dan Kelantan.

Mungkinkah mereka akan memperuntukkan kerusi kepada PAS untuk mengelak dianggap hanya memperalatkan PAS di sebelum ini?  

Persoalan bagaimanakah dengan kedudukan PAS sememangnya rumit untuk menangkis persepsi PAS hanyalah sebuah parti pakai buang kepada mereka.

Sukar juga untuk mengetepikan dakwaan ramai lagi yang sebenarnya masih keliru siapakah anggota-anggota dalam Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan Pakatan Rakyat (PR) ini sebenarnya.

Berdasarkan perkembangan terkini menerusi deklarasi rakyat Tun Dr. Mahathir Mohamad, nampak semakin sukar untuk menjangkakan rupa bentuk pakatan baharu yang bakal diperkenalkan mereka.                                   

Yang pasti hanyalah menyaksikan ada keterlibatan daripada DAP, PKR, PAS, Amanah, UMNO, dan paling menarik Perkasa pun berada di situ. Ibrahim Ali yang dikaitkan dengan kontroversi sentimen perkauman dilihat turut hadir berada pada majlis menandatangani deklarasi tersebut.      

Sesuatu yang luar biasa dan memerlukan masa untuk rakyat memahami dan menerimanya.

Bagaimana pula dengan parti-parti pembangkang tempatan Sarawak? Mampukah mereka menggugat BN?

Pada 2011, gandingan PR terdiri daripada PKR, DAP, dan PAS. Kesemua parti yang berasal daripada ‘Malaya’ ini pada ketika itu gagal mencapai kata sepakat dengan SNAP menyaksikan pertembungan PKR dengan SNAP di 25 kerusi.     

Dengan sentimen anti-Malaya yang begitu kuat sekarang, mungkinkah terdapat mana-mana parti pembangkang tempatan yang sanggup atau memberanikan diri mengambil risiko bekerjasama dengan parti dari Semenanjung?       

Sambil itu mesti ramai juga yang tertanya-tanya sama ada pada PRN kali ini adakah masih terdapat begitu banyak dermawan mengeluarkan duit mereka untuk kempen pilihan raya DAP?

Apa-apa pun kebolehan berkomunikasi atas pentas calon-calon bertanding dalam tempoh waktu kempen pilihan raya kelak akan memainkan peranan besar. Memang benar lawak dan gurau senda itu lebih menarik daripada mengupas manifesto politik untuk menarik undi penonton yang hadir tetapi harap-harap tidaklah sampai diri menjadi stand-up comedian di situ. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru