KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mengadakan pertemuan dengan Watson Nyambek semalam di Hotel Promenade, Bintulu, bagi mendengar sendiri suara hati dan masalah kewangan yang didepaninya.

Dalam pertemuan tersebut, Adenan berjanji bantuan akan dihulurkan kepada “The Flying Dayak” itu bagi menangani masalahnya itu.

“Jasa wira sukan kita tidak akan dilupa(kan). Bantuan akan dihulur.

” Diharapkan bakat dan kemahiran Watson Nyambek akan dapat membantu melahirkan atlet yang dapat mengharumkan Sarawak,” katanya menerusi akaun facebook yang dimuat naik semalam.

Sementara itu, Watson dalam maklum balasnya berharap bantuan yang bakal dihulurkan itu dapat disegerakan.

” Saya berharap Kerajaan Sarawak dapat menunaikan janji mereka secepat mungkin untuk membantu saya dan membersihkan nama saya daripada kebankrapan dan juga memberi kebajikan yang lain seperti yg dibincangkan semalam,” katanya yang memuat naik status tersebut hari ini.

watson nyambek cm

Kisah Watson mula dicungkil apabila namanya dikeluarkan dalam senarai insolvensi akhbar tempatan minggu lalu kerana gagal membayar hutang sebanyak RM80 ribu daripada Bank Islam.

Pendedahan wartawan portal tersebut kemudian mendapati ia berpunca daripada kos menanggung rawatan ayahnya yang menderitai barah, yang kemudian meninggal dunia dua tahun lalu.

Lanjutan pendedahan itu, banyak pihak termasuk Kerajaan Negeri menawarkan bantuan kepadanya.

Watson merupakan pemegang rekod kebangsaan untuk 100 meter dengan catatan 10.30 saat sejak 1998.

Sementara itu, Timbalan Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam mengadakan sidang media bagi mengumumkan penubuhan tabung untuk membantu Watson.

Biarpun jemputan dipanjangkan oleh SDNU kepada semua media, namun Watson yang dihubungi kemudian berkata, hanya mengizinkan sebuah akhbar menyiarkan kisahnya, hingga menimbulkan rasa jengkel semua wartawan lain.

Dipercayai, ia berikutan rasa tidak puas hatinya terhadap pendedahan oleh wartawan portal yang membongkarkan penderitaannya. – SARAWAKVOICE.COM