Friday, December 3, 2021

Wahai wanita Malaysia: Hubaya-hubaya jerat cinta lelaki di internet

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Hubaya-hubaya dengan jerat percintaan di internet.  Kisah wanita terperangkap dan terpedaya oleh lelaki licik bukan asing. Setiap minggu dan hari sentiasa ada kes penipuan membabitkan love scam, dan wanita Malaysia. Begitu banyakkah wanita kesunyian di luar sana? Begitu mudahkah wanita diperangkap jerat cinta?

Mengapakah mereka mudah tunduk? Mereka kemaruk cinta dan kesunyian? Kes jenayah ‘cinta siber’ babitkan golongan wanita sebagai mangsa di negara ini memang membimbangkan meski isu ini sudah banyak kali didedahkan. Bagai tidak ada jalan keluar dan titik noktah untuk kisah sedih ini.

Wanita yang memang ingin meluahkan rasa cinta, akhirnya kecundang. Mereka bukan saja kecewa, tetapi tertekan dari segi mental dan emosi. Lelaki idaman terlepas, wang juga entah ke mana. Jumlahnya bukan sedikit. Begitu mudah wanita Malaysia menyerahkan wang mereka kepada lelaki yang tidak begitu dikenali hanya kerana cinta.

Polis Bukit Aman  semalam  berkata pada tahun lepas sahaja, sebanyak 1,646 kes jenayah siber dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM56 juta.

Jumlah kes tidak surut, sebaliknya mengukuh di tengah-tengah usaha pihak polis mendedahkan kes berkenaan kepada rakyat negara ini.

Pada 2014, sebanyak 1,015 kes sama dilaporkan babitkan kerugian RM52 juta.

Apakah  modus operandi penjenayah itu?  Individu terbabit biasanya  menyasarkan wanita berusia antara 35 dan 45 tahun, khususnya golongan ibu tunggal yang kaya. 

Ibu tunggal yang bercerai , ditinggalkan suami atau kematian suami, menjadi mangsa mudah dan berpotensi untuk diperdaya. Penjenayah siber terbabit tahu, mereka ini merupakan golongan yang lemah dari segi psikologi dan mudah diumpan.

Rekod polis membuktikan majoriti suspek yang terbabit dalam kegiatan hodoh itu ialah warga Afrika. Meski bukan semua mereka yang datang dari benua itu terbabit, tetapi hakikatnya imej dan reputasi mereka sudah terjejas teruk, tidak disangkal.

Kerana beberapa ekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Lelaki dari Afrika dilihat dengan penuh skeptis dan mata ragu.

Biasanya,  suspek memulakan perkenalan dengan menabur janji manis menerusi laman sosial seperti Facebook, e-mel dan Skype.  Mereka secara lembut, perlahan-lahan dan penuh sentuhan cinta, melalui kata-kata romantik, akan cuba membujuk mangsa. Wanita yang kehausan cinta mudah terperangkap dalam jerat cinta internet.

Setelah berkenalan, mesra dan serasi dengan mangsa, suspek bertindak menipu mangsa. Ironinya, mangsa tidak sedar ditipu. Maklumlah, sudah mabuk cinta.

Jalan terbaik bagi wanita adalah untuk tidak mudah termakan dengan janji manis dan kata-kata lelaki atau sesiapa saja di alam maya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.- SarawakVoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru