Tok Nan jumpa Duta China sebentar lagi, bincang isu Beting Patinggi Ali

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dijangka menerima kunjungan hormat Duta China ke Malaysia, Huang Huikang pagi ini di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia.

Dr. Huang Huikang
Dr. Huang Huikang

Menurut sumber, perjumpaan tersebut dijangka membincangkan pelbagai isu, terutamanya berhubung pencerobohan kapal pengawal pantai China di kawasan gugusan beting Patinggi Ali atau Luconia Shoals Selatan atau dalam bahasa Cina dikenali sebagai Nankang Ansha.

Selain, Malaysia dan Cina, kawasan rebutan “panas” yang terletak di koordinat 05°36′ Utara 112°36′ Timur Laut China Selatan ini turut direbut oleh Taiwan.

Bagaimanapun kemuncak perebutan ini adalah apabila kapal pengawal pantai China ini mula menghalang nelayan tempatan mencari ikan di kawasan berhampiran beting terbabit, di samping membuat bantahan kepada Wisma Putra apabila sekumpulan pengkaji kapal karam memacak jalur gemilang pada beting tersebut pada 31 Ogos tahun lalu.

Hubungan diplomatik di antara Sarawak dan China sebenarnya cukup akrab, terutama dalam soal ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

Malah ketika Tun Abdul Razak mengadakan lawatan ulung ke republik itu pada 1970, dua menteri asal Sarawak turut serta iaitu Tun Jugah ak Barieng dan Tun Abdul Taib Mahmud.

Pertemuan pada pagi ini dijadualkan sekitar jam 10 pagi dan rombongan Duta China ini akan diiringi oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Sri Wong Soon Koh.

lawatan china - sarawak

Rombongan ini tiba dua hari lalu menerusi Sibu dan mengadakan beberapa lawatan dan pertemuan sebelum berangkat ke Kuching.

Pada 13 Februari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, beliau telah diminta oleh Adenan untuk merintis jalan kepada pertemuan ini, bagi mencari jalan diplomatik dalam menyelesaikan kemelut berkaitan Beting Patinggi Ali.

Ia juga bagi membolehkan pihak China memaklumkan kepada kepimpinan tertinggi di Sarawak apa sebenarnya tujuan dan perancangan mereka apabila menghantar kapal tersebut.

Jelas Hisham, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa sebarang tindakan ketenteraan adalah langkah terakhir, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan kuasa-kuasa besar.

Sejak tiga tahun lalu, isu kehadiran pasukan Pengawal Pantai China berhampiran Beting Patinggi Ali heboh diperkatakan hingga memaksa pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sering menghantar kapal mereka untuk memantau situasi. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

Pertahankan kedaulatan Beting Patinggi Ali

Saluran diplomasi tangani isu Beting Patinggi Ali