Friday, July 1, 2022

Dua maut di Sarikei kes babitkan kemalangan pasukan bola sepak Miri

Secara Rawak

SARIKEI: Seorang lelaki kehilangan isteri dan anaknya sekali gus apabila kereta Perodua Viva yang dipandunya hilang kawalan lalu berlanggar dengan sebuah bas ekspres di Simpang Bayong, dekat sini petang tadi.

Nonadiah Tawi, 65 tahun dan anaknya Sabariah Raffiee, maut di tempat kejadian manakala Raffiee Senawi, 68, yang memandu Perodua Viva tersebut cedera.

Menurut Penolong Pegawai Operasi Negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.03 petang tadi dan sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.

” Setibanya di lokasi 15 minit kemudian, mereka mendapati sebuah kereta Produa Viva kemek bahagian tepi kiri dilanggar sebuah bas.

” Difahamkan kereta tersebut dalam perjalanan dari Selalang ke Sarikei, manakala bas ekspres sewaan Pusat Latihan Khidmat Negara itu dalam perjalanan ke Kuching dari Miri.

Menurut Farhan, impak kuat pelanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan maut serta-merta.

” Berdasarkan maklumat saksi, kereta Perodua Viva itu telah hilang kawalan hingga termasuk ke laluan bertentangan sebelum pertembungan berlaku.

Anggota bomba katanya, mengambil masa lebih 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian penumpang hadapan.

Bas itu, kata Farhan sedang dalam perjalanan membawa pasukan bola sepak Kolej Vokasional Miri ke Kejohanan Karvotek peringkat negeri Sarawak.

Para penumpang itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kuching dengan menaiki bas gantian. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru