BINTULU: Krisis politik di Semenanjung hingga menyaksikan `Deklarasi Rakyat’ dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat tidak lebih daripada sekadar ‘persekongkolan cacamerba’.

Malah perkembangan tersebut diyakini tidak akan menjejaskan sokongan rakyat Sarawak terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) kelak.

Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, berkata perkembangan itu juga sama sekali tidak akan mempengaruhi pendirian rakyat negeri ini atau memberi impak kepada keputusan pilihan raya negeri yang dijangkakan hujung bulan depan.

“Di Sarawak, cara kita sama sekali berbeza.

“Malah saya cukup yakin segenap lapisan masyarakat di negeri ini cukup matang dan bijak dalam membuat pilihan, bersandarkan rekod prestasi cemerlang calon, parti dan kerajaan selama ini.

“Jentera pilihan raya kita, khususnya di peringkat akar umbi sudah cukup bersedia untuk melaksanakan PRN11, termasuk menjawab pelbagai isu yang dijangka diketengahkan pembangkang, terutama yang bersumberkan krisis yang berlaku di sana (Semenanjung),” katanya selepas melancarkan Jentera PRN11 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus, Jepak, Kemena, Tanjung Batu,  Samalaju, Belaga dan Murum, di sini petang tadi.

Adenan turut mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip dan DUN Kemena, Datuk Dr Stephen Rundi Utom, kedua-duanya dari PBB, dikekalkan pada pilihan raya negeri kali ini.

Mengenai pendiriannya terhadap Dr Mahathir yang bersekongkol dengan pembangkang dalam memperjuangkan `Deklarasi Rakyat’, beliau menganggap perkara itu tidak lebih daripada sekadar berkepentingan peribadi.

“Yang pasti, Sarawak akan terus menyokong kepemimpinan BN Pusat, sambil tetap menghargai sumbangan Tun Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri suatu ketika dulu.

“Sarawak sama sekali tidak akan bersekongkol dengan pembangkang walaupun hanya kerana fahaman dan pendirian tidak sealiran,” katanya.

Sambil mengingatkan rakyat negeri ini agar tidak mudah leka dan terpengaruh dengan pelbagai isu yang dibangkitkan oleh parti pembangkang dari Semenanjung ketika pilihan raya akan datang, Adenan berkata, pembangkang akan menggunakan seribu satu cara untuk menghalalkan matlamatnya.

“Kita sedar pembangkang akan menggunakan pelbagai helah dan kaedah untuk memancing undi pada pilihan raya akan datang… jadi jangan sesekali terpengaruh,” katanya.

Ketua Menteri menambah, beliau berkeyakinan tinggi semua parti komponen BN Sarawak, khususnya PBB akan dapat mempertahankan kerusi yang ditandingi dalam PRN11.

“Saya amat yakin BN Sarawak tidak mempunyai masalah mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini, begitu juga kerusi baharu yang bakal ditandingi.

“Kita malah yakin akan dapat melaksanakan misi menawan semula beberapa kerusi yang ketika ini dikuasai pembangkang,” katanya.

Pada majlis yang sama, Adenan mengesahkan senarai penuh calon BN Sarawak kini sedang dikemaskinikan dan akan diumumkan serentak pada hujung bulan ini.

“Bagi DUN Mulu yang heboh diperkatakan ketika ini, saya akan meletakkan calon dari parti asal BN Sarawak.

“Itu sahaja yang boleh katakan sekarang… jika mahu tahu lebih lanjut, tunggulah hujung bulan ini, saya akan umumkan kesemuanya,” katanya. – SarawakVoice.com