KUCHING: Duta China, Dr Huang Huikang menafikan berlakunya pencerobohan oleh pasukan keselamatan negara itu di perairan Sarawak, khususnya di kawasan Beting Patinggi Ali yang berada di luar pesisir pantai Miri seperti dilaporkan media tempatan sebelum ini.

Malah, beliau turut menafikan dakwaan nelayan tempatan dihalang oleh Pasukan Pengawal Pantai China untuk menjalankan aktiviti perikanan di lokasi terbabit.

“Kita sudah berhubung dengan pihak berkaitan di China bagi memeriksa kesahihan berita itu yang turut disiarkan media tempatan sebelum ini. Pasukan Pengawal Pantai China mengesahkan insiden itu tidak pernah berlaku.

“Dalam pertemuan bersama wakil persatuan nelayan di Sibu semalam, kita juga ada meminta maklum balas mengenai laporan itu dan mereka menyatakan maklumat disiarkan tidak tepat sama-sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala Sarawak – China.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Johari Baharum; Menteri Kewangan Ke-II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abd Ghani dan Konsul Jeneral China di Kuching, Fu Ji Jun.

Difahamkan, pertemuan itu bagi menjelaskan isu kehadiran kapal peronda Pasukan Pengawal Pantai China di kawasan Beting Patinggi Ali atau Luconia Shoals Selatan yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Berikutan itu, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut menggerakkan aset masing-masing ke lokasi terbabit bagi memantau situasi, selain memberi perlindungan keselamatan kepada nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan terbabit.

Menjelaskan kehadiran kapal peronda Pasukan Pengawal Pantai China berhampiran kawasan Beting Patinggi Ali, Huikang berkata, ia hanya rondaan rutin pasukan itu.

“Mereka melaksanakan rondaan rutin dan jarak diliputi adalah luas. Justeru, kehadiran mereka bukan sebagai ancaman kerana kapal peronda digunakan tidak berlabuh di situ, sebaliknya sentiasa bergerak,” katanya.

Ditanya sama ada isu itu turut dibincangkan dalam pertemuan bersama Adenan, beliau menjelaskan perkara itu tidak sesuai dibincangkan di peringkat negeri kerana membabitkan isu antara dua negara.

“Ini membabitkan hubungan diplomatik antara dua negara, Malaysia – China…. tidak sesuai dibincangkan di peringkat negeri,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut memberi jaminan Laut China Selatan boleh digunakan semua pihak secara bebas tanpa sebarang sekatan, lebih-lebih lagi kawasan itu turut disifatkan sebagai laluan perdagangan strategik.

“Kita tidak pernah menerima sebarang aduan dan laporan mengenai `gangguan’ kepada pengguna Laut China Selatan. Jadi, tidak timbul wujudnya sekatan terhadap pihak tertentu untuk menggunakan perairan itu,” katanya.

Sementara itu, Huikang menyifatkan hubungan terjalin antara Sarawak – China berada pada tahap terbaik, terutama dalam konteks ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

Malah, hubungan baik itu terjalin sejak bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein mengadakan lawatan ulung ke negara itu pada 1970 ketika negara komunis itu disisihkan oleh negara lain.

Rombongan Tun Razak yang merintis jalan menjalinkan hubungan diplomatik dengan China turut disertai dua menteri dari Sarawak iaitu Tun Jugah Barieng dan Tun Abdul Taib Mahmud. – SARAWAKVOICE.COM

Salah seorang anggota penyelam dan pengkaji sejarah arkeologi maritim mengunjungi Beting Patinggi Ali pada 31 Ogos tahun lalu.
Salah seorang anggota penyelam dan pengkaji sejarah arkeologi maritim mengunjungi Beting Patinggi Ali pada 31 Ogos tahun lalu.