KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib perlu membayar mutaah RM30 juta kepada bekas isterinya.
Hakim Mohamad Abdul Karim Wahab di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini memutuskan Shahnaz A Majid berhak menerima tuntutan mutaah (nafkah) dan mahkamah perlu menentukan kadar yang ditetapkan, mengikut Malaysiakini.
Mohamad Abdul Karim juga menerima keterangan saksi pakar perakaunan bagi pihak Shahnaz, Andrew Heng, walaupun mahkamah mengakui ada beberapa kelonggaran dalam anggarannya.
“Defendan (Mahmud Abu Bekir) atau peguamnya gagal mempertikaikan kelemahan itu,” katanya.
Mahmud Abu Bekir ialah anak bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, berkahwin dengan Shahnaz pada 9 Januari 1992. Namun, pasangan itu hidup berasingan sejak 1999 sebelum disahkan bercerai pada 11 Mei 2011.
Mengikut portal itu, Mohamad Abdul Karim juga mengarahkan bayaran itu dibuat melalui tiga peringkat, RM10 juta setiap satu.
“Ini ialah jumlah yang wajar berdasarkan bukti dan dapat menghapuskan duka pihak isteri,” katanya.
Sebelum ini Shahnaz – yang juga kakak ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid – menuntut bayaran nafkah sebanyak RM100 juta daripada bekas suaminya itu.
Shahnaz juga memfailkan tuntutan RM300 juta bagi harta sepencarian.
Bagaimanapun perbicaraan mengenai tuntutan itu belum bermula.
Satu lagi tuntutan Shahnaz bernilai RM121 juga sebagai nafkah membesarkan anak mereka ditolak Mahkamah Rayuan Syariah
Jun tahun lalu, Abu Bekir Taib mengakui di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bahawa kekayaannya bernilai RM1.185 bilion, berdasarkan laporan juraudit diupah Shahnaz.
Selain itu, beliau berkata memiliki 20 syarikat atau yang dia menjadi pengarahnya menyumbangkan aset dengan nilainya itu, seperti laporan Ferrer Hodgson MH Sdn Bhd yang diupah Shahnaz untuk menganggarkan nilai kekayaan bekas suaminya.
Bekir Mahmud mengakui dia memiliki 50 syarikat yang dua daripadanya syarikat tersenarai dan selainnya syarikat milik sendiri.
Ketika itu, juruaudit Andrew Heng memberitahu bahawa Mahmud bernilai antara RM916 juta hingga RM1.334 bilion.