Polis Sarawak terus jejaki penjudi siber, 9 lelaki ditahan

MIRI: Perjudian siber di daerah ini masih beroperasi biarpun polis giat menjalankan operasi dengan yang terbaru menyerbu sebuah rumah di Kampung Bakam, dekat sini, semalam.

Serbuan jam 10 malam itu berjaya merampas sembilan komputer yang digunakan untuk permainan judi atas talian dan sejumlah wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar, berkata rampasan dianggarkan berjumlah RM22,000.

“Sembilan lelaki termasuk seorang pemilik premis berusia 21 hingga 52 tahun yang berada di rumah itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Pengusaha rumah judi disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan, manakala lapan yang ditahan kerana berjudi mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Katanya, operasi membanteras kegiatan perjudian di negeri ini akan diteruskan termasuk permainan judi mesin ikan dan kasino mini. – SARAWAKVOICE.COM

judi miri_0001

judi miri_0000