Calon BN difitnah melalui Facebook

MUKAH:  Tindakan Ketua Menteri menggugurkan nama Faridah Osman, 55, sebagai bakal calon mengejutkan  pengundi di kerusi di Mukah dan Balingian.

Semalam Faridah mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sebagai Setiausaha Politik bersama-sama 19 yang lain.

Sejak Disember lalu, sebaik saja nama Faridah disebut-sebut sebagai calon berpotensi bertanding di Balingian, sudah terdapat usaha individu tertentu untuk menjatuhkan citra dan reputasi beliau melalui Facebook.

SarawakVoice mendapati “Facebook  DUN Balingian” diwujudkan dengan meletakkan gambar Faridah sebagai imej profil.

“Facebook itu ialah Facebook palsu. Ia bukan milik Faridah. Ia bermotif jahat dan disengajakan untuk mencalar imej dan reputasi beliau. Faridah tidak tahu-menahu tentang Facebook itu,” kata pemerhati politik di Mukah.

Katanya, melalui Facebook itu mereka telah memfitnah dan menyebarkan maklumat palsu dengan memburuk-burukkan nama Faridah sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka akan menentang BN dalam pilihan raya negeri ke-11 yang dijadualkan 30 April.

 “Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Individu yang mewujudkan Facebook itu mempunyai motif yang jelas. Tetapi sikap mereka itu sama seperti lontar batu sembunyi tangan. Mereka terdesak dan  amat tidak bertanggungjawab, ” tambahnya.

Difahamkan Faridah telah membuat laporan kepada pihak berwajib tentang status sebenar dalam media sosial itu.  

Melalui catatan dalam Facebook itu Faridah digambarkan  menguar-uarkan mengenai pemilihan calon di Balingian  dilakukan oleh beliau sendiri, walhal dikatakan itu tiada kaitan langsung dengan beliau.

Berita bahawa Faridah bakal ditampilkan di kerusi Balingian sudah tersebar luas di kawasan majoriti Melanau itu, dengan 8,600 pengundi.

Tan Sri Adenan Satem difahamkan telah mengumumkan nama beliau di hadapan majlis yang dihadiri sayap Pemuda dan Wanita akhir Januari lalu.

Dalam kalangan pemerhati politik di Mukah, terdapat beberapa nama yang berminat bertanding, iaitu Abdul Yakub Arbi, Naib Ketua Bahagian Balingian yang juga Walikota Mukah, Sulaiman Sahari, AJK Bahagian, dan Raymond Joseph Tanin, Ketua Pemuda.

Mereka ini  sering dikaitkan dengan Datuk Seri Leo Michael Toyad, Ahli Parlimen Mukah.

Di Kuching  kelmarin, Adenan berkata, senarai calon parti komponen BN, termasuk calon langsung akan diumumkan berperingkat-peringkat hingga akhir Mac.

Setakat ini bagi PBB, beliau telah mengumumkan sekitar 10 nama. – SarawakVoice.com