ANALISIS: Politik shit dalam politik Malaysia

Selepas Anwar Ibrahim dipecat pada 1998, Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara telah menulis novel Shit (1999) yang menggemparkan. Novel satira politik itu hampir diharamkan kerajaan.

shit shanonShit dengan watak utama PukiMak merupakan novel yang berlatarbelakangkan sistem najis atau tahi dalam tubuh manusia. Shit mengambil analogi politik negara yang sarat dengan kebusukan, sehingga terdapat kenyataan dalam novel itu, busuk dan membusukkan.

Ia memaparkan pemimpin politik yang gila kuasa. Watak PM dalam novel itu digambarkan kuku besi, jelas merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

PM yang sudah tersumbat dalam lubang taik begitu lama tidak dapat dikeluarkan dan dikentutkan kerana PM punya kuasa yang tiada tandingan. Ketika itu muncul Wirawan yang menjadi ancaman kepada PM. Wirawan dikatakan merujuk kepada Anwar Ibrahim.

Ya, masih adakah politik shit di negara ini?

Dunia politik ialah dunia yang aneh.   Dunia politik ialah dunia yang serba mungkin, dan juga dunia yang serba tidak mungkin. Benar kata orang, tiada teman yang kekal dan tidak ada musuh abadi dalam politik.  Yang kekal abadi ialah kepentingan. Hari ini kawan, esok mungkin sahaja jadi lawan. Hari ini duduk semeja bergurau senda, dan berdakap mesra, esok mungkin menghunus keris racun berbisa.

Hari ini dengan kerajaan, esok masuk pembangkang. Sebaliknya, hari ini dengan pembangkang, esok sokong kerajaan. Ya, apa yang aneh dan hendak hairan? Itu sesuatu yang biasa, normal.

Malah, kalau hari ini peluk cium dan cium tangan sampai melekat air liur di tangan pemimpin yang dipuja, esok mungkin orang itu dikutuk, dikecam, dan dihina.

Malah, dibantai  habis-habisan.  Sudah jatuh, dipijak-pihak lagi kepalanya, dan disepak-sepak lagi seluruh badannya. Hari ini jadi pemimpin, esok jadi orang biasa. Hari ini orang biasa, esok, entah-entah sudah jadi orang paling berkuasa. Hari ini dihormati, esok, dihina dan dicerca. Ketika sudah jatuh, baru hendak tahu tinggi rendahnya langit. Tetapi apabila berkuasa, ada yang angkuh dan lupa daratan.

Langit tidak selalu cerah, dan hari tak selalu indah dalam politik. Itulah orang tua pernah berpesan kepada ahli politik, kalau melihat bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi. Apabila berkuasa, gunakan kuasa dengan betul. Jangan rasuah, salah guna kuasa, amalkan kronisme dan nepotisme.

Kalau hari ini hantar jambangan bunga, esok mungkin tidak lagi. Kalau hari ini ingat tarikh hari jadi, tarikh perkahwinan dan segala macam ulang tahun, esok lusa, sudah lupa, dan ingat-ingat lupa.  Atau lupa-lupa ingat. Bunga, kek dan kad,  tidak lagi datang bertandang. Ucapan tahniah halaman penuh berwarna yang menjadi amalan dan kelaziman, sudah tidak lagi terpapar di dada akhbar.

Dulu dipuja, sekarang dihina, bukan lagi sesuatu yang asing dalam politik negara. Aku yang dulu, bukan aku yang sekarang.

Jangan hairan, ada yang sanggup memfitah, menelanjang, dan menggunakan kata-kata kesat dan melampau, hanya untuk membuktikan musuh politik itu salah.  Nilai agama dan budaya letak ke tepi. Memetik kata-kata Shahnon Ahmad dalam novelnya Shit yang beredar di pasaran ketika zaman reformasi yang membara dan menggelegak pada 1999, keadaannya adalah busuk dan membusukkan.

Banyak sudah kita saksikan, dan ini bukan sandiwara.  Dari dulu hingga sekarang. Dalam seminggu dua ini, kita mendengar pemimpin politik menggunakan pelbagai lambang, metafora, dan perumpamaan dalam kenyataan mereka.  Babi, anjing, gila talak,  orang sakit yang koma dan sudah mati.

Semuanya hendak dapat markah tinggi di hadapan boss.

Dalam teori propaganda, semua itu dikenali sebagai ‘labelling’ dan ‘name calling’.  Tujuannya untuk mencederakan imej dan reputasi musuh politik.

Semuanya hendak pertahankan diri dan tangkis hujah lawan. Betul, tidak ada yang seratus peratus benar dalam politik. Semuanya bergantung kepada pihak mana yang anda sokong. Juga perspektif  dan prinsip yang anda pegang.  

Sebagai penonton segala watak yang berlakon di atas pentas dan gelanggang politik, kita perlu bersikap rasional. Kita tidak boleh hanyut dalam emosi dan provokasi. Kita perlu pertimbangkan dengan otak, bukan dengan hati.  Kita perlu pertimbangkan segala kata, kenyataan, hujah dan wacana mereka dengan akal  sihat.

Sebab, sesetengah pemimpin politik sudah tidak siuman lagi, tidak kira dari sebelah mana mereka. Jika ada pemimpin politik yang sakit atau kedengaran sakit, kita tidak boleh turut sama-sama sakit. Kalau ada yang sudah kelihatan ‘gila’ kita tidak boleh sama-sama tidak siuman.

Bukan aneh,  ada pemimpin dan penyokong politik yang sanggup menjual prinsip dan maruah. Atau benarkah masih ada ahli politik yang punya prinsip dan maruah? Persetankan dengan semua itu! Yang penting, kuasa bisa dipertahankan, habuan masuk menggunung, wang tunai semakin kencang masuk ke dalam akaun.

Kita sedang terjebak dalam kegawatan politik yang parah. Kita perlu kewarasan dan kebijaksanaan agar tidak terheret sama dalam dunia politik yang kotor dan bobrok, dan sudah hilang kewarasan. Jika tidak, kita juga sama bobrok dan gila seperti sesetengah ahli politik.  

Sekarang, kita perlu pemimpin politik yang dapat memimpin, bukan dipimpin. Pemimpin politik yang boleh kejutkan kita semua daripada kealpaan dan kelekaan. Kita perlu bergerak ke hadapan, dan tidak terus terperangkap dalam lingkaran ganas politik yang semakin sasau dan hilang arah. Kita perlu keluar dari dunia gelap politik, dan mencari sinar. Kita tidak perlukan politik toksik, racun, dan tahi. Sebaliknya, kita perlukan angin segar dan sinar baharu. – SARAWAKVOICE.COM