Kehilangan MH370: Hari 29 juta rakyat Malaysia tersentak dua tahun lalu

KUALA LUMPUR: Hari ini, dua tahun lalu, ketika 29 juta rakyat Malaysia bangkit dari tidur, mereka tersentak, dan bagai tidak percaya dengan berita, pesawat MH370, jenis Boeing 777-200 milik Malaysian Airline System (MAS) , membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal  telah hilang.

Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi telah hilang dari radar.

Sumber Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) berkata pesawat itu hilang dari radar pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.

MH370 routeOperasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan  pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya dalam kenyataan media pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu.

Pecahan  penumpang,  38 rakyat Malaysia, 153 rakyat China, Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).

Usaha mencari meliputi kawasan seluas 30,000 km persegi di Teluk Thailand dan Laut China Selatan digerakkan 11 negara membabitkan 34 pesawat dan 40 kapal.  

Kemudian, pencarian diperluas ke kawasan Selat Melaka dan Laut Andaman.  Pencarian di kawasan Lautan Hindi dijangka diteruskan sehingga akhir Jun ini. Pencarian pesawat itu dikatakan membabitkan kos RM527 juta setakat ini.

Di Kuala Lumpur kelmarin, Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata, kerajaan akan terus melakukan apa yang patut dilakukannya.

“Ini komitmen kami. Kami akan meneruskan komitmen itu,” katanya.

Ketika keluarga mangsa belum dapat menyisihkan kesedihan, kerajaan bertekad meneruskan usaha pencarian, dan ketua penyiasat Kok Soo Chon dijangka mengeluarkan kenyataan melalui TV1, pukul 3 petang ini.  

Semalam Dewan Rakyat  pada hari pertama persidangan bertafakur sejenak sempena ulang tahun kedua tragedi itu.

Sementara itu, 76 keluarga mangsa tragedi mengemukakan saman terhadap MAS dalam apa yang dianggap saman mahkamah terbesar.

Ahli keluarga masih mengharapkan bangkai pesawat dapat ditemui bagi menutup episod duka itu.

Sumber kerajaan berkata, kemungkiinan besar bangkai pesawat yang ditemui di Khamis lalu di Pulau Reunion adalah daripada MH370.

 

Tempoh (JJ:MM) Waktu Kejadian
MYT UTC
00:00 00:41 16:41 Berlepas dari KLIA
00:20 01:01 17:01 Anak kapal mengesahkan altitud 35,000 kaki (11,000 m)
00:26 01:07 17:07 Penghantaran data ACARS terakhir diterima; anak kapal mengesahkan lagi altitud 35,000 kaki
00:38 01:19 17:19 Hubungan suara ATC  Malaysia terakhir[
00:40 01:21 17:21 Hubungan radar sekunder (transponder) terakhir di  6°55′15″N 103°34′43″E
00:41 01:22 17:22 Transponder dan ADS-B kini mati
00:49 01:30 17:30 Hubungan suara dari pesawat lain tidak berjaya
00:56 01:37 17:37 Penghantaran data ACARS setiap setengah jam tiada
01:30 02:11 18:11 Dencing pertama ACARS (“Classic Aero”) automatik setiap sejam ke satelit Inmarsat 3F1.
01:34 02:15 18:15 Hubungan radar utama terakhir oleh tentera Malaysia, 200 batu (320 km) BL Pulau Pinang
05:49 06:30 22:30 Melewati masa ketibaan di Beijing
07:30 08:11 00:11 Dencing automatik setiap sejam yang terakhir ke satelit Inmarsat
07:49 08:30 00:30 Dilaporkan hilang
Sumber: Jadual Wikipedia