Deklarasi Rakyat beri kesan dalam PRU nanti, kata mantan menteri

KUALA LUMPUR: Mantan menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 58 tokoh Jumaat lalu di Kuala Lumpur, membuktikan rakyat menolak pemimpin yang tidak beretika dan tidak berprinsip, serta diselaputi kekotoran.

Zaid  percaya deklarasi itu pasti memberi kesan besar dalam pilihan raya akan datang.

“Inilah ketikanya untuk mempersiapkan ‘revolusi mental rakyat’ yang perlu tahu bahawa kepentingan rakyat hanya dapat dipenuhi oleh pemimpin yang bersih.”

Menurut beliau, rasuah sentiasa dilihat sebagai sesuatu yang biasa dalam politik, di negara ini, tetapi kali ini ia telah mengejutkan rakyat.

“Kita tidak lagi boleh bertolak ansur dengan perlakuan sedemikian.Ingat: isu utama dalam pilihan raya akan datang adalah mengenai rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Zahid berkata perisytiharan itu, penting kerana ia memperagakan keazaman di pihak rakyat, meski mereka berbeza dari segi politik, untuk disatukan sesudah negara ini dibenarkan untuk dimalukan dan diperlekeh di pentas dunia.

Kesediaan mantan pemimpin UMNO seperti Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, dan pemimpin peringkat cawangan UMNO  untuk duduk di atas pentas yang sama dengan Lim Kit Siang dan Bersih, demi kepentingan negara adalah sesuatu yang amat bermakna, tambahnya.

“Ini peristiwa yang bersejarah. Tidak pernah kita saksikan kerjasama sedemikian dalam tempoh 50 tahun lalu dalam sejarah negara,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM