Suami isteri diikat tiga perompak bersenjata, larikan Hilux dan Proton Saga

KUCHING: Pasangan suami isteri berdepan detik mencemaskan apabila diikat tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau pemotong daging yang memecah masuk rumahnya di Batu Kawa di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 36 tahun tahun itu kerugian apabila Toyota Hilux dan Proton Saga milik mereka dilarikan perompak berkenaan.

Menurut sumber, lelaki terbabit mengikat tangan dan kaki serta menutup mata pasangan itu dengan pita pelekat. Mereka turut mengacukan pisau sebagai tanda amaran.

IMG-20160307-WA0001

“Suspek kemudian mengambil telefon bimbit milik lelaki dan wang sebanyak RM50 milik wanita.

“Mereka kemudian meninggalkan lokasi kejadian dengan memandu Toyota Hilux dan Proton Saga milik pasangan itu,” katanya.

Pasangan itu membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Ng Ah Lek berkata,  siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Katanya, kereta Toyota Hilux mangsa ditemui ditinggalkan di Jalan Lundu-Bau kira-kira jam 5.30 pagi tadi. – SARAWAKVOICE.COM