Pengerusi SPR baharu: Mengapa kami harus dihentam menjelang Pilihan Raya Sarawak?

Demam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 telah pun bermula. Masing-masing pihak yang terlibat kini dalam “gear penuh” bagi menghadapi “hari keramat” itu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menerima bos baharu tidak berkecuali.

Ikuti temu bual wartawan Sarawakvoice.com, Mohd Zahir Haqim bersama-sama tokoh penting, Pengerusi SPR, Datuk Seri Hashim Abdullah berhubung pilihan raya tersebut. Untuk rekod, ini merupakan pilihan raya pertama beliau sebagai Pengerusi SPR.

SarawakVoice: Pilihan raya negeri akan berlangsung tidak lama lagi. Bagaimana persediaan SPR?

Kita telah bersedia sepenuhnya. Bajet telah dipohon daripada Perbendaharaan. Kos keseluruhan dianggarkan RM135 juta. Selain persediaan dari segi sumber manusia, iaitu petugas, semua aset dan peralatan yang diperlukan telah kita tempah dan diuruskan perolehannya. Ini termasuk 38 unit helikopter yang akan kita sewakan untuk tujuan hari tersebut.

Hashim Abdullah 2

Datuk Seri yakin PRN 11  Sarawak akan berjalan lancar?

Insya-Allah. Ini bukan pengalaman pertama kita. Banyak kali kita telah mengendalikan pilihan raya dengan jayanya. Untuk menjayakan pilihan raya ini kita telah mempersiapkan lebih 21 ribu petugas di seluruh negeri. Mereka telah menjalani latihan yang diperlukan untuk tujuan ini.

Bagi PRN ini, ada 82 kawasan dengan 11 kawasan baharu…

Ya. 11 kawasan baharu itu melibatkan lebih 160 ribu pengundi yang bertukar kawasan. Secara keseluruhannya ada 1.14 juta pengundi yang akan terlibat, jika berdasarkan daftar pemilih terkini, iaitu suku keempat 2015.

Ia pilihan raya pertama Datuk Seri selaku Pengerusi SPR. Tentu banyak suara sumbang.

Apabila nama saya diumumkan sebagai Pengerusi SPR, baharu satu hari saya dilantik, macam-macam orang kata kepada saya. Apatah lagi pada waktu pilihan raya.

Ada yang kata saya ini orang itu orang ini. Sesetengah yang komen itu, saya tak kenal pun. Komen dan ulasan mereka… macam mereka kenal saya luar dalam.

Rakyat perlu sedar bahawa yang melantik saya dan rakan-rakan adalah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Kami bertindak mewakili baginda bagi memastikan sistem demokrasi dan kerajaan dibentuk melalui pilihan raya. Oleh itu kami akan berusaha untuk bertindak seadil-adilnya, dan seneutral mungkin. Tidak perlulah bersikap pesimis dan mencurigai kewibawaan kami.

Mereka curiga kerana takut berlakunya penipuan?

Saya fikir tidak ada ruang untuk melakukan penipuan berdasarkan ketelusan yang kita lakukan. Pertama, di ruang mengundi itu sendiri ada pemerhati dan wakil kesemua pihak yang bertanding.

Kedua, kita telah melakukan penambahbaikan kepada peti undi, yang boleh dilihat oleh semua wakil secara jelas.

Ketiga, kita menggunakan kaedah celupan dakwat pada jari untuk mengelakkan pengundi berulang.

Keempat, dalam semua proses, baik menjumlahkan kertas undi, menentukan kertas undi sah atau rosak hingga kepada penjumlahan, akan diperhati oleh wakil parti atau pihak yang bertanding. Pada masa yang sama, ada juga pemerhati bebas.

Jadi bila semua perkara ini dipatuhi, bila masanya kita hendak menipu? Jumlah undi yang dihantar ke pusat penjumlahan adalah jumlah yang telah disah dan ditandatangani oleh semua wakil, setelah mereka berpuas hati. Ini termasuk melakukan pengiraan semula.

Hashim Abdullah

Jadi proses pemilihan  sudah matang?

Kita dah banyak kali mengadakan pilihan raya. Dan negara kita pun dah merdeka lebih 50 tahun. Kita dah lama membangun jika dibandingkan dengan negara-negara yang baharu mencapai kemerdekaan seperti di blok Soviet.Tetapi apabila kita pergi ke negara mereka sebagai pemerhati, mereka lebih tenang dalam pemilihan dan pengundian.

Mereka lebih teratur. Mereka juga berlumba-lumba hendak menjadi pemerintah, tetapi tidaklah sampai kepada satu peringkat hingga boleh mengancam nyawa dan kebebasan orang lain.

Yang bergaduh ialah parti politik, tetapi yang tuduh SPR ni sebab apa? Yang duduk hentam SPR ini kenapa? Satu pilihan raya kecil… kita lalu, baling dengan botol… kita pun ada maruah juga. Kenapa harus begitu? Sampai satu tahap tak boleh lalu ke kawasan tertentu kerana terlalu panas. Itu bukan caranya. Kita hendak memilih pemimpin dan pemimpin itu akan memerintah kita. Kenapa kita ke arah sedemikian?

Jadi harapan Datuk Seri pada PRN Sarawak?

Saya berharap ia berjalan dengan lancar, tenang dan saksama. Sehingga ke hari ini, Pilihan Raya Kecil Balingian pada dua tahun lalu masih dianggap yang terbaik pernah kita adakan. Semua keluar mengundi dengan solidariti. Dengan silaturrahim hingga kita tidak tahu individu yang masuk itu dari parti apa. Disiplin yang tinggi oleh semua pihak, malah tanpa sebarang insiden dan kekecohan.

Saya masih ingat sebaik sahaja proses pengundian tamat, masing-masing parti menurunkan poster dengan cepat dan bersih. Kerana itulah kita menyifatkannya sebagai yang terbaik.

Saya berharap PRN Sarawak mengambil semangat itu. Pilihan raya berlangsung lima tahun sekali. Tetapi kita perlu hidup bersama-sama selama lima tahun selepas itu. Oleh itu, bukan satu tindakan yang bijak jika kita mencetuskan huru-hara dan melakukan tindakan yang tidak matang.

Berapa peratusan jangkaan keluar mengundi?

Secara purata di seluruh negara …

73 peratus. Ada sesetengah tempat, kita menggerakkan usaha untuk kempen daftar pemilih tetapi jumlah keluar mengundi tetap juga kurang.

Jadi saya berharap pihak saudara (media) dapat membantu dengan melaksanakan kempen agar ramai-ramai keluar mengundi. Melaksanakan dengan penuh tanggungjawab sistem demokrasi negara ini.

Terima kasih Datuk Seri.

Sama-sama. – SARAWAKVOICE.COM