Jangan fikir, Adenan seperti Tuhan – Chong Chien Jen

KUCHING: Semua pihak kelihatan amat yakin bahawa pengundi Cina akan kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN)  dalam pilihan raya nanti.

Pelbagai pemimpin persatuan Cina di Sarawak yakin bahawa pengundi Cina selesa dan memberi reaksi positif terhadap pembaharuan yang dibawa oleh Ketua Menteri.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Negeri Chong Chien Jen, tidak bersetuju dengan pendapat sedemikian.

Sebaliknya, ADUN Kota Sentosa itu yakin bahawa semua kerusi majoriti Cina di Kuching, Sibu dan Miri akan dapat dipertahankan, sebagaimana dipetik KiniTV, semalam.

Menurut Chien Jen,  Tan Sri Adenan Satem telah mengambil pelbagai langkah untuk memujuk pengundi Cina.

Chen Jen yang juga Ahli Parlimen Kuching mendapat sokongan kuat daripada pengundi Cina dengan mencatat lebih 60 peratus sokongan, mengikut satu kajian.

Beliau dianggap sebagai ‘hero’ yang memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina, dan amat lantang bersuara dalam Dewan Undangan Negeri.

“Beliau pemimpin yang berani, lantang dan melakukan penyelidikan sebelum bercakap,” kata seorang penyokongnya.

adenan-dan-chong

Daripada 50 prinsip dan keputusan yang telah diambil Adenan, antara yang pro-Cina ialah menyalurkan peruntukan RM12 juta kepada sekolah persendirian Cina, mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dan tidak menyifatkan Cina sebagai pendatang.  

“Jangan fikir Adenan seperti Tuhan,” kata Chong seperti dipetik  Malaysiakini dan KiniTV, dalam satu temu bual.

Chien Jen dipetik sebagai berkata, DAP meraih antara 60 to 70 peratus sokongan daripada pengundi Cina, berbanding 60 peratus pada pilihan raya 2006.

Hakikatnya, BN hanya mendapat 37 peratus sokongan daripada pengundi Cina dalam pilihan raya negeri 2011. Peratusan tersebut merupakan penurunan sebanyak 12 peratus, berbanding pilihan raya umum 2008.

Penganalisis politik berpendapat, DAP tidak mungkin dapat menambah kerusi dalam pilihan raya 30 April nanti. Prestasi terbaik DAP adalah pada 2011 kerana hampir kesemua kerusi bandar telah dimenanginya.

Kerusi Batu Lintang di Kuching, satu lagi kerusi majoriti Cina, telah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya tersebut.

Dalam pilihan raya ke-10, DAP memperoleh 12 daripada 15 kerusi yang ditandinginya. DAP hampir menang di Senadin apabila calon BN meraih hanya 58 undi majoriti.  

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mewakili masyarakat Cina kehilangan jawatan Timbalan Ketua Menteri ekoran keputusan mengejutkan itu. Kini, pengundi Cina juga mempunyai Parti Rakyat Bersatu (UPP), pimpinan Wong Soon Koh, parti serpihan SUPP.

Kedua-dua parti itu kini bertelagah dari segi agihan kerusi sehingga beberapa kali Ketua Menteri memberi amaran dan kata dua agar isu itu diselesaikan segera bagi mengelak BN kalah di kawasan terbabit.

Dalam keadaan berlaku pertembungan tiga penjuru antara SUPP, UPP dan DAP, penganalisis berpendapat, kerusi terbabit akan memihak kepada DAP kerana undi yang sepatutnya diperoleh BN, berpecah.

Terbaharu di Kapit kelmarin, dalam ucapan disampaikan ketika merasmikan Program Sejiwa Senada 2016, Adenan mahu pihak terbabit dalam pertikaian segera mencari jalan damai. “Maka, kita berharap usaha perdamaian disegerakan demi kepentingan BN Sarawak. Kalau masih juga gagal mencari kata sepakat, saya tiada pilihan lain kecuali mengguna formula penyelesaian sendiri demi keutuhan BN Sarawak.”

Adenan dijangka akan mengemukakan calon langsung.

“Kita sudah beri banyak masa bagi selesaikan krisis, namun masih belum ada perkembangan positif. Kita kesuntukan masa, dan pilihan raya sudah semakin dekat,” katanya.

Beberapa orang pemimpin kanan BN yakin bahawa ia mampu merampas kembali empat daripada kerusi Cina daripada DAP.

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri berkali-kali dalam pelbagai platform beberapa minggu lalu, mahu pengundi Cina kembali ke pangkuan BN dan memberi sokongan kepada ‘pasukan Adenan’ bagi membolehkan mereka lebih diwakili dalam kerajaan. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

Bermain teka-teki dengan pengundi Cina