Masyarakat Cina di Sarawak gembira dengan langkah yang diambil oleh Ketua Menteri dengan menyalurkan  RM12 juta dalam tempoh tiga tahun, kepada sekolah persendirian Cina. Juga pengiktirafan terhadap Unified Examination Certificate (UEC). Tetapi adakah rasa gembira itu bakal diterjemahkan ke dalam bentuk undi dalam pilihan raya negeri pada 30 April nanti?

Meskipun UEC diiktiraf oleh universiti luar negara, termasuk Universiti Oxford dan Universiti Cambridge, sijil berkenaan tidak diiktiraf kerajaan persekutuan untuk kemasukan ke pusat pengajian tinggi awam dan permohonan bagi jawatan dalam perkhidmatan awam. Keadaan ini mengguris hati masyarakat Cina, justeru isu berkenaan sering dieksploitasikan DAP menjelang setiap pilihan raya sebelum ini.

Dengan tindakan pragmatik yang diambil oleh Tan Sri Adenan Satem itu, persoalan sekarang ialah, mampukah semua itu mengubah pola pengundian pengundi dan masyarakat Cina di Sarawak dalam pilihan raya negeri ke-11 nanti? Atau mereka kekal menyokong DAP?

DAP tasik biru

Meskipun Adenan cuba menyelesaikan isu yang sering menjadi perhitungan bagi pengundi Cina, namun yang menjadi masalah ialah selagi terdapat masalah membabitkan pergeseran antara SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), dibimbangi, tidak akan berlaku banyak perubahan dari segi pola pengundian nanti.

Selagi konflik tersebut masih berlarutan, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan kritikan, selagi itulah masyarakat Cina akan muak dengan sikap mereka.  Jika soal pengagihan kerusi membabitkan kepentingan kedua-dua parti itu tidak diselesaikan, ia akan terus meniadi hambatan besar. Yang mengaut keuntungan dalam keadaan kedua-duanya bertelagah ialah DAP.

Kemenangan DAP di kerusi majoriti Cina dalam pilihan raya itu berpunca daripada kekecewaan mereka terhadap kepemimpinan negeri dan SUPP, serta keinginan untuk menyaksikan perubahan. Sama ada DAP dapat terus mengekalkan momentum yang dilakarkannya itu, banyak bergantung kepada sejauh mana pemimpin UPP dan SUPP dapat berkompromi.

Jika mereka berkeras, kedua-duanya akan menerima padah. Sebab, bagi pengundi Cina, mereka mahu kepentingan mereka dilindungi oleh parti terbabit.  Lagipun, mereka mahu wujudnya kuasa semak dan imbang di Dewan Undangan Negeri bagi menyemak dasar kerajaan agar tidak berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menyedari peluangnya di bandar sudah mencapai takah tepu, selepas pilihan raya lalu, DAP cuba memperluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar dan separa bandar melalui projek Impian Sarawak yang lebih bersifat simbolik politik, dengan membina satu dua projek kecil, dan membantu penduduk luar bandar seadanya.

Dalam pilihan raya akan datang parti itu berhasrat bertanding di 30 kerusi. Namun, DAP tidak mungkin mencapai keputusan lebih baik daripada pilihan raya 2011. Mereka tidak mungkin dapat memenangi lebih daripada 12 kerusi, malah jika BN dapat selesaikan masalah dalamannya, ada kemungkinan DAP akan kehilangan beberapa kerusi. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

Jangan fikir, Adenan seperti Tuhan – Chong Chien Jen