440,000 anak Sarawak gegarkan Sejiwa Senada

KAPIT: Setakat ini Program Sejiwa Senada anjuran Kerajaan Negeri berjaya menarik sekitar 440,000 pengunjung di empat bandar utama di negeri ini, mengikut statistik yang diperoleh SarawakVoice.com.

Jumlah itu berdasarkan angka yang diumumkan beberapa orang menteri dan pegawai kanan melalui media setakat ini.

Menjelang pilihan raya negeri pada 16 April 2011, program serupa juga pernah diadakan di beberapa bandar utama di negeri ini. Ia berjaya menarik 900,000 pengunjung, mengikut angka rasmi kerajaan.

Di Miri Sejiwa Senada berjaya menarik 80,000 pengunjung, Sibu 180,000, dan Sarikei 130, 000, dan Saratok 30,000 orang .

formula prn

Program di Kapit berjaya menghimpunkan 15,000 pengunjung meskipun sasaran penganjur hanya 10,000.

Program itu akan turut berlangsung di beberapa bandar lagi, iaitu Limbang 26-27 Mac, Sri Aman 8-10 April, dan Samarahan 15-17 April.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan dalam ucapannya di satu majlis di Kuching sebentar tadi, program Sejiwa Senada akan diadakan di Matang, Kuching.

Tujuannya bagi mendedahkan pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan kepada penduduk di kawasan terbabit, dan bagi menjalinkan kerjasama antara kerajaan dengan rakyat. Tema program itu ialah ‘Kerajaan Bersama Rakyat.”

Program di Kuching pada 22-24 April dianggap kemuncak, menjelang pilihan raya pada 30 April.

formula prn 4

Mengikut sumber kerajaan, Program Sejiwa Senada merupakan salah satu daripada aktiviti pelan transformasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak. Melalui program itu pihak kerajaan turun padang bertemu dengan rakyat.

Matlamatnya antara lain adalah untuk merapatkan hubungan kerajaan negeri dan persekutuan dengan rakyat atau semua lapisan masyarakat setempat yang melibatkan penjawat awam termasuk wakil-wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Program Sejiwa Senada diharap akan mempertingkatkan lagi interaksi dan komunikasi dua hala yang efektif dan berkesan antara kedua-dua pihak. Usaha ini juga adalah untuk menggalakkan ketelusan dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan rakyat terutama mengenai penambahbaikan yang berterusan yang diusahakan oleh pihak kerajaan dalam sistem/prosedur/proses penyampaian perkhidmatan awam kita di negeri Sarawak. – SARAWAKVOICE.COM