Watson Nyambek perlu rasional, jangan ugut wartawan

KUCHING: Bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek diminta bersikap rasional dan bertenang di sebalik mengugut untuk menyaman wartawan yang menulis tentang kisah sedihnya.

Seorang wartawan media nasional berkata, Watson sebaliknya perlu berterima kasih kepada wartawan terbabit kerana tujuan pendedahan itu adalah untuk membantu Watson menyelesaikan masalah yang membebankan dirinya.

” Watson merupakan wira negara. Dan dia muflis bukan kerana berfoya-foya atau gagal dalam perniagaan. Tetapi atas alasan yang cukup murni, membantu merawat ayahnya yang sakit.

” Pendedahan ini penting kerana ia bukan berita sensasi. Sebaliknya membangkitkan kesedaran kepada rakyat akan kesengsaraan yang dialami Watson,” katanya lagi.

Katanya, biarlah kerajaan dan rakyat membalas budi Watson dengan menghulur bantuan yang sepatutnya, dan bukannya mengharunginya sendirian.

” Berapalah RM80,000 yang menjadi beban Watson kalau semua pihak sanggup berganding bahu membantu,” tambahnya.

Watson dan isteri dilaporkan berusaha keras untuk membayar hutang dari Bank Islam tersebut, termasuk dengan menjual buah-buahan di beberapa pasar raya.

Semalam, berita mengenai Watson, turut mendapat perhatian pelbagai media nasional telah memberi kesedaran kepada pelbagai pihak untuk tampil membantu.

Antara yang telah menyatakan komitmen termasuklah Kerajaan Negeri Sarawak melalui pengumuman Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sebaik tamat program Sejiwa Senada di Kapit.

Turut menyatakan kesediaan untuk meringankan masalah Watson ialah Pergerakan Pemuda Barisan Nasional Sarawak, yang diikrarkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) menerusi Timbalan Presidennya, yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Sebagaimana ada pingat emas menanti sewaktu Watson memecut 10.30 saat untuk rekod kebangsaan pada tahun 1998, begitulah juga ada sinar di hujung terowong bagi nasib malang yang menimpa Watson ini. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

Watson hanya tuntut wartawan lebih beretika