SARIKEI: Masyarakat Bumiputera di Maradong hari ini diingatkan bahawa mereka adalah penentu kepada jatuh bangun seseorang ahli politik di kawasan tersebut.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, sehubungan itu, penting untuk rakyat di kawasan ini memastikan ahli politik yang dipilih kelak adalah yang benar-benar berfungsi dan dapat menjamin pembangunan berterusan di situ.

“Jika kita tidak ada solidariti, berpecah-belah … gagal bersatu maka kita hilang kuasa penentu.

” Perpecahan ini akan merugikan kerana ia akan menyebabkan rakyat di kawasan ini bukan sahaja ketinggalan, malah terpinggir,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Bola Keranjang Bintangor, dekat sini pagi tadi.

Jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu lagi, perpaduan adalah perkara yang penting bag menjadikan suara 40 peratus pemilih Bumiputera di kawasan itu didengari.

” Dengan suara ini, saya pasti kita akan dapat menentukan siapa menang dan siapa kalah dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Pada pilihan raya negeri ke-10, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Ting Tze Fui memperoleh 6,884 undi, bagi menewaskan calon BN daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Ling Kie Kiong yang sekadar mengutip 4,197 undi.

Tze Fui mempertahankan kerusi itu untuk kali kedua dengan majoriti 2,687 undi.

ADENAN meradong

Pada majlis yang sama, Adenan menyeru penduduk di kawasan itu agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang diterima tanpa menyelidik akan kesahihannya.

“ Jika ragu-ragu dan tidak pasti, tanyalah saya. Berjumpalah dengan mereka yang selayaknya untuk memberi maklumat.

“ Dalam menoa tok, akulah apai ….Jamilah lah indai kitak, ” katanya, merujuk kain rentang yang dibawa oleh penduduk di kawasan tersebut yang tertulis: “Kami rakyat di Meradong, nadai apai, nadai indai, minta Barisan Nasional tolong kami”.

Tegas Adenan, adalah menjadi tanggungjawab penduduk di kawasan itu untuk memastikan wakil rakyat BN merebut kembali kerusi tersebut dan menjadi wakil mereka selepas PRN akan datang.

” Setelah itu, saya akan pastikan bantuan dan permintaan penduduk di sini akan kita usahakan,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Semop, Abdullah Saidol dalam ucapannya berkata, Ketua Menteri yang lebih mesra dipanggil Tok Nan adalah seorang ketua yang di jiwanya Sarawak, dan di hatinya rakyat.

” Pelbagai usaha telah dilakukannya bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan, terutama rakyat di luar bandar,” katanya.

Pada majlis tersebut, Abdullah mengumumkan sumbangan berjumlah RM234 ribu kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di kawasan tersebut.