Masa untuk rakyat dan pemimpin  Sarawak bertindak, kata pemimpin DAP, PKR Sarawak

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak menyifatkan inilah ketika terbaik untuk Barisan Negeri Sarawak (BN) menarik diri daripada BN Pusat yang diterajui UMNO di sebalik tindakan 58 orang tokoh mengisytiharkan Deklarasi Rakyat.

Chong Chien Jen menyifatkan perkembangan politik yang berlaku sekarang sesuatu yang bagus dan akan membawa kepada penjajaran semula suasana politik di negara ini.

Deklarasi Rakyat yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib berundur diterajui mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur Jumaat lalu, menerima pelbagai reaksi rakyat, dengan ada yang membidas, dan tidak kurang pula menyokongnya.

Bagi Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, Najib perlu berundur demi kepentingan 30 juta rakyat negara ini.

Namun, Chien Jen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa meragui itu akan berlaku.

Sebaliknya, Najib akan menilai prestasi BN dalam pilihan raya negeri April nanti terlebih dahulu.

“Jika BN Sarawak menang besar, mungkin Najib akan kekal, tetapi jika BN sarawak tewas di 6 hingga 10 kerusi, beliau akan terpaksa berundur,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat DAP di sini, semalam.

Bagi Naib Pengerusi Parti Keadilan Negeri (PKR), sementara perpecahan berlaku dalam UMNO, Sarawak dan Sabah perlu menjadi penentu atau ‘kingmaker’ apa lagi kedua-dua negeri terbabit mempunyai 55 orang Ahli Parlimen.

“Kita kuasa yang dapat tentukan nasib kerajaan persekutuan sekarang,” kata See Chee How dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini semalam.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang itu, kerajaan perlu mendengar suara rakyat, dengan mengambil kira kebajikan mereka, kesukaran dan himpitan ekonomi yang ditanggung.

Bagi See How, perkembangan politik yang berlaku sekarang, sesuatu yang positif, sambil menambah “Itulah sebabnya pemimpin PKR hadir bersama Dr Mahathir dalam membuat desakan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur. Kami perlu bekerjasama demi kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan itu. – SARAWAKVOICE.COM