Deklarasi Rakyat bukan wakili 30 juta rakyat Malaysia, kata menteri

KUCHING: – ‘Deklarasi Rakyat’ sekali tidak mewakili 30 juta rakyat Malaysia atau 15 juta pengundi tetapi ia hanya sebuah pergerakan bagi menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, dokumen yang ditandatangani oleh 58 individu di Kuala Lumpur, Jumaat, diketuai mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ialah dokumen yang bertujuan untuk menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, katanya.

“Sudah tentu, ini tidak benar…58 individu tidak mewakili 30 juta rakyat Malaysia mahupun tidak sama sekali 15 juta pengundi,” katanya dalam entri terkini dalam blognya.

Tindakan Dr Mahathir yang pernah menjadi presiden UMNO dan Perdana Menteri selama 22 tahun telah mendapat bidasan pelbagai pihak. Namun tidak kurang juga yang bersetuju dengan tindakan beliau.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata kita ada hampir 800 Ahli Parlimen dan ADUN dan mereka ialah wakil sah yang dipilih oleh pengundi semasa pilihan raya umum dan pilihan raya negeri.

Salleh berkata walaupun mereka menjadikan acara semalam seperti sebuah platform menuntut pembaharuan dan perubahan, namun sebenarnya ia merupakan gabungan terdiri daripada orang yang menentang Najib.

“Apa yang mereka sebenarnya mahu adalah untuk memberi tanggapan bahawa langkah menyingkirkan perdana menteri disokong oleh majoriti rakyat…Perisytiharan itu adalah ‘alasan untuk berselindung’ untuk mewajarkan apa yang dilakukan mereka.”

“Mereka bagai lupa bahawa ada mekanisme melakukan sesuatu seperti itu dan mekanisme itu dipanggil pilihan raya umum.”

Katanya, antara 58 penandatangan deklarasi itu ialah pesara politik, pegawai polis dan pegawai kerajaan, serta pemimpin masyarakat sivil.

“Hakikatnya, ia tidak lebih daripada sebuah acara yang digembar-gemburkan,” katanya.

Menurut Salleh ‘Deklarasi Rakyat’ itu hanya dokumen yang dikitarkan semula berdasarkan yang dilakukan pada 1998 dan 2008.

“Tidak syak lagi mereka mengatakan ini satu pelan tindakan untuk reformasi tetapi ia tidak benar-benar merupakan pelan tindakan atau pelan induk kerana ia adalah senarai aspirasi dan keinginan,” katanya.

Tambahnya: ‘Deklarasi Rakyat’ adalah apa-apa yang  ingin  dilihat mereka daripada pelan bagaimana untuk mencapai aspirasi ini.

“Dengan erti kata lain, mereka tidak menawarkan penyelesaian kepada kita,” katanya.

“Lagipun, aspirasi ini berbeza…bergantung kepada siapa anda bercakap…dengan seorang mengatakan satu perkara dan seorang lagi berkata sebaliknya,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM