Selepas politik amuk, apa lagi strategi Mahathir?

Awal minggu ini,  Tun M membuat keputusan meninggalkan UMNO. Keputusan itu tidak bermakna beliau mahu meninggalkan dunia politik.

Sebaliknya, itu ialah tanda Tun M kembali mengheret dirinya untuk bersilat dan bergelumang di pentas politik – situasi yang tidak mungkin dilakukan oleh Gordon Brown, Tony Blair dan John Mayor di Britain.

Siapa sangka Tun M kemudiannya berada di atas pentas politik yang sama dengan seteru politiknya untuk puluhan tahun seperti yang berlaku semalam? Siapa sangka beliau juga menyampaikan salamnya kepada Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di dalam penjara di Sungai Buloh?   

Matlamat utama untuk menyingkirkan Perdana Menteri dari kerusinya?

Pernahkah Perdana Menteri berundur kerana desakan sedemikian di negara ini? Atau sejarah baharu akan tercipta kerana sentimen politik yang menggelegak dalam kalangan 30 juta rakyat?

Tun M bukanlah Tun M kalau tidak menghentam dan mengeheret turun perdana menteri daripada tahkta kekuasaan dengan strategi politik amuk. Itulah Tun M, tokoh politik yang amat luar biasa yang telah mencorakkan politik Malaysia sepanjang lima dekad lalu. Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein dan Tun Abdullah adalah antara perdana menteri yang pernah merasai politik amuk Tun M.

UMNO menemui Tun M semasa beliau bertugas sebagai seorang pengamal ilmu perubatan di negeri Kedah. UMNO membuangnya sebagai ahli parti apabila beliau ‘mengamuk’ selepas tewas di parlimen Kota Setar tahun 1969.

Amuk beliau bukanlah dengan keris dan pedang, tetapi dengan tulisan dan ucapan.

Dalam bukunya yang bertajuk ‘Dilema Melayu’, beliau ada menyentuh mengenai sifat amuk yang ada pada orang Melayu. Beliau tahu, ‘amuk politik’ – khasnya melawan kekuasaan, seperti amukan Hang Jebat di Istana Melaka dan Taming Sari di Kraton Majapahit– akan sentiasa diingati, disanjung dan dipuja sepanjang zaman.  

Tunku dituduh ‘terlalu memberi muka kepada orang Cina’ sehingga mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969. Tidak lama selepas itu, UMNO kembali mengangkat beliau kerana politik amuk yang beliau lakukan berjaya mengubah rejim kepemimpinan dalam UMNO.

Selepas diterima semula ke dalam UMNO, dan diberi gelaran ultra-Malayu, serta diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat, ‘silat dan amuk’ tidak lekang dari pentas politik Tun M. Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim semuanya pernah merasa air tangan Tun M.

Politik amuk Tun M dilepaskan bukan sahaja terhadap tokoh-tokoh politik tempatan, malah turut dirasai juga oleh pihak Istana seperti dalam krisis perlembagaan 1 dan 2  yang masing-masing berlaku pada tahun 1982 dan 1993.

pada zaman kegemilangannya, Tun M semacam kecewa dengan kekurangan mercu tanda di Kuala Lumpur. Lantas sepanjang tahun 90-an dan awal abad ke-21 ini, kita lihat Kuala Lumpur seperti diamuk oleh bangunan-bangunan mega yang mencakar langit.

Namun begitu, mercu tanda itu semuanya menggunakan nama Inggeris seperti KLCC, KL Sentral dan KLIA. Bahasa Melayu kekal dikaitkan dengan yang buruk-buruk, terbiar dan kotor sahaja. Seperti Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Kerinchi dan banyak lagi.

Tun M ialah tokoh luar biasa. Banyak orang masih ingat kes Tun M dan nasib Pak Lah yang juga bermula dengan tindakan Tun M membuang keahlian UMNO. Anwar Ibrahim terpelanting dari kerusi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri juga atas tindakan Tun M.

Adakah Tun M benar-benar pakar strategi politik seperti yang didakwa oleh banyak orang? Apakah politik amuknya pada kali ini akan berjaya menumbangkan Najib Razak? Atau adakah Tun M akan diingat kerana melakukan perkara-perkara buruk?

Dalam episod politik amuk kali ini, kelemahan Tun M agak ketara. Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan anaknya sendiri Muhkriz tidak mahu bersekongkol membuang keahlian UMNO. Mesej yang cuba disampaikan oleh ketiga-tiga pemimpin UMNO yang dibuang oleh Najib ini ialah perjuangan di luar UMNO seperti cara Tun M adalah tidak relevan.

Sebaliknya,  pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim yang kini masih meringkuk di dalam penjara,  seperti pada tahun 2006, dengan gembira menyambut keputusan Tun M. Tindakan ketua parti-parti pembangkang ini dilihat seperti begitu terdesak sekali.

Senario politik Malaysia sudah berubah semenjak PRU 2013. Malaysia memerlukan pemimpin pelapis untuk mengharungi masa depan yang semakin mencabar dan tidak menentu.

Pertukaran pemimpin ialah perkara biasa,  dan akan berlaku dengan penglibatan Tun M atau tanpa campur tangan beliau.Tun M pernah terlibat dalam episod politik amuk untuk menjatuhkan pemimpin yang paling menarik, tetapi mendebarkan. Untuk itu, Tun M akan sentiasa diingati dalam politik Malaysia. – SARAWAKVOICE.COM