Penyokong fanatik Sarawak punca FAS didenda RM25 ribu, stadium kosong

FAM 2

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) didenda RM25 ribu dan bermain dalam stadium kosong gara-gara tindakan liar segelintir peminat dan penyokong fanatiknya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Jawatankuasa Tatatertibnya menjatuhkan hukuman tersebut setelah penyokong skuad skuad Bujang Senang membakar mercun dan melontar objek ke dalam trek ketika perlawanan berlangsung.

Hukuman itu juga disebabkan tindakan segelintir peminat yang tidak bertanggungjawab melontar batu ke arah bas pasukan Felda United dan kereta pegawai perlawanan.

FAM 1

FAM menyifatkan hukuman maksimum itu wajar kerana kegagalan FAS mengawal peminatnya, selain sebagai pengajaran kepada para penyokong agar lebih berdisiplin.

Dalam perlawanan pada 16 Februari di Stadium Negeri itu, anak-anak buah Datuk K Rajagopal tumpas 1-2 kepada KL Felda United.

Berikutan penggantungan itu, skuad Ngap Sayot ini akan beraksi menentang Kedah pada 12 Mac depan dan Terengganu FC II (TFCII) pada 9 April tanpa sorakan penonton.

Ia mendatangkan kerugian kepada persatuan negeri terbabit, kerana pendapatan yang bakal diperoleh akan terjejas.

Sekurang-kurangnya kutipan tiket untuk kedua-dua perlawanan tersebut boleh menjangkau RM150 ribu.

Ini merupakan kali kedua pasukan Sarawak didenda bermain tanpa penonton. Pada musim lalu, skuad Ngap Sayot pimpinan David Usop turut menerima nasib yang sama, tetapi hanya bermain gelanggang kosong untuk satu perlawanan, dengan syarat tiada kekacauan berlaku.

Selain Sarawak, Persatuan Bolasepak Perak turut didenda jumlah yang sama, dan bermain tanpa penyokong untuk satu perlawanan berikutan kekecohan selepas perlawanan Liga Super membabitkan skuad Seladang itu dan Selangor, juga pada 16 Februari.

Bagaimanapun hukuman bermain gelanggang kosong itu ditangguhkan dan akan berkuat kuasa jika kesalahan yang sama diulangi dalam tempoh enam bulan selepas hukuman dijatuhkan.

Turut didenda ialah Persatuan Bolasepak Selangor yang dihukum RM10 ribu gara-gara penyokong membakar suar ketika aksi Piala FA menentang Air Asia FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 19 Februari lalu.

Kesemua kesalahan ini adalah kesalahan berulang dan persatuan terbabit akan berhadapan hukuman lebih berat jika kesalahan sama berlaku lagi pada masa depan. – SARAWAKVOICE.COM