Larry Sng berkeras mahu takluki puncak Bukit Goram

KUCHING: Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP), Larry Sng Wei Shen, berkeras tidak akan mahu bertanding di kerusi lain, melainkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram, pada pilihan raya negeri akan datang.

Sebelum ini, kerusi DUN Bukit Goram menjadi rebutan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Dalam satu kenyataan ringkas menerusi facebook Larry mengakui telah membuat keputusan berhubung perkara itu dan tidak akan berpatah balik. Keputusannya muktamad.

Beberapa hari lalu Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah menasihati Larry agar kembali ke pangkuan Barisan Nasional.

Pernah menjadi ADUN Pelagus sebelum menyerahkan kepada sepupunya, George Lagong pada pilihan raya negeri yang lalu, dan pernah dilantik menjadi menteri mudas di bawah pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud.

Datuk Alexander Nanta Linggi yakin Larry dapat membantu BN memenangi kerusi terbabit.

“Saya mohon maaf Datuk, tetapi saya berasal dari Kapit. Ini merupakan tempat lahir saya, dan saya ingin meneruskan perkhidmatan saya di sini, sama seperti ayah dan datuk saya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Larry dikenali sebagai pemimpin politik yang suka membantu rakyat miskin termasuk di rumah panjang. Beliau tidak mengamalkan pilih kasih, dan bantuannya tanpa mengira etnik.

Larry bertekad untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat pimpinannya, jika menang.

”Saya telah bersedia dari segi mental dan fizikal dan akan mengorbankan segala-galanya untuk rakyat yang akan saya wakili kelak,” tambahnya.

Mengakui ia bakal menjadi pertempuran terbesar dalam sejarah hidupnya, Larry berkata dia bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Larry pernah menjawat Menteri Muda Pembangunan Sosial (Belia) pada zaman pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud, sebelum dipecat daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), apabila wujud krisis di antara bapanya, Datuk Sng Chee Hwa dengan presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing.

DUN N63 Bukit Goram merupakan kerusi baharu selepas proses persempadanan semula DUN Sarawak pada tahun lalu.

Jumlah pengundi terkini ialah 11, 459, dengan majoriti pengundi Iban. Ia terletak di kawasan Parlimen Kapit.  

Kini mempunyai tiga kerusi DUN iaitu Bukit Goram, DUN N.61 Pelagus dan N.62 Katibas.

Bukit Goram meliputi kawasan besar, dari Sungai Melipis hingga ke bandar Kapit, termasuk Sungai Menuan, Sungai Ibau, Sungai Belawai, Sungai Sesibau, Sungai Yong dan Sungai Kapit.

Sebahagian kawasan Bukit Goram berada di kawasan DUN Belaga, diwakili Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang, dari PRS.

Sebahagian lagi merangkumi kawasan Balleh yang diwakili beliau sendiri.

PBB dan PRS menyatakan mempunyai calon berpotensi mampu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 nanti.

Beberapa minggu lalu, Presidennya PRS Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing mendakwa Bukit Goram dan Murum (Belaga), salah satu lagi kerusi DUN baharu, pada asalnya datang dari satu bilik sebelum kedua-duanya dipisahkan. – SARAWAKVOICE.COM