Formula khas Adenan tangani kemelut BN Sarawak menjelang PRN

KAPIT: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini mendedahkan “formula khas”nya bagi menangani kemelut parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertelagah sesama sendiri menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11.

Katanya, formula tersebut adalah dengan menurunkan “calon langsung BN”, dengan membawa bendera pasukan BN.

” Pasukan ini akan dikenali sebagai ‘Pasukan BN’ dan ia akan dibentuk dalam masa terdekat sebagai jalan penyelesaian kemelut parti-parti komponen yang tiada penghujung,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Sejiwa Senada di Stadium Kapit pagi tadi.

Lebih 20 ribu orang hadir dalam program tiga hari tersebut, yang diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti pameran agensi kerajaan dan hiburan.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Menurut Adenan, menerusi formula itu, hanya seorang calon akan dipilih bagi mewakili BN di semua kawasan yang menjadi rebutan parti-parti komponen ini.

 

” Sebarang keputusan kelak adalah muktamad dan diharapkan dapat mengelakkan pertembungan sesama sendiri,” tegasnya.

Penjelasan Adenan ini merujuk kepada pertelingkahan dan perebutan kerusi yang berlaku di antara parti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan serpihannya, Parti Tenaga Sarawak (TERAS).

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Adenan berkata, Sarawak akan menuntut lebih banyak kuasa autonomi, sejajar dengan penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri daripada Pusat.

” Pada masa yang sama, kita akan mendesak agar perbincangan mengenai royalti minyak diteruskan sehingga apa yang kita mahu dicapai,” katanya yang turut mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia agar bertindak lebih aktif dalam menahan dan mengusir pendatang asing tanpa izin di negeri ini.

Pada majlis tersebut, Adenan turut memaklumkan bahawa projek pembinaan jalan raya sejauh 80km dari Kapit ke Sibu melalui Song dan Kanowit kini sedang rancak dilaksanakan.

” Projek yang menelan biaya sebanyak RM800 juta ringgit itu akan membolehkan Kapit diakses dengan laluan darat dan tidak lagi bergantung kepada bot ekspres,” katanya sambil mengumumkan projek pembinaan Jambatan Mujong bernilai RM35 juta.

Pada majlis yang sama, Adenan mengagihkan geran tanggungjawab sosial korporat Petronas bernilai RM175 ribu kepada 12 pertubuhan sukarela kebajikan (PSK) Bahagian Kapit. – SARAWAKVOICE.COM