KUCHING: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini menyelar tindakan beberapa ahli politik dari Semenanjung yang mengisytiharkan “deklarasi rakyat” semalam sebagai tindakan politik yang terdesak.

Menurutnya, tindakan itu berpunca daripada kekeringan dan ketandusan idea daripada kem Pakatan Harapan, serta dendam peribadi bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Deklarasi Rakyat 2

” Amat jijik melihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menggadaikan maruah dan prinsip mereka dengan bersekongkol dengan lelaki yang paling dibenci dan dikutuk untuk lebih sedekad lalu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Fadillah yang juga Ketua Pemuda Parti Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak berkata, dalam konteks Sarawak, tindakan kedua-dua parti ini amat melucukan kerana sebelum ini mereka bersuara dengan lantang dengan mendakwa Tun M sebagai pemimpin bias dan berat sebelah, dan mengabaikan pembangunan Sarawak pada era pentadbirannya.
” Sekarang amat jelas bahawa tidak ada Perdana Menteri Malaysia yang lebih prihatin dan menyumbang lebih kepada kebajikan dan pembangunan Sarawak melainkan Datuk Seri Najib (Razak),” katanya lagi.

BN Sarawak tegasnya, amat berterima kasih dan menghargai sumbangan Najib, kerana kepimpinan parti itu di Sarawak mengiktiraf seseorang ketua (Perdana Menteri) berasaskan sumbangan sebenar, bukan atas desakan politik.

” Datuk Seri Najib telah memberikan komitmen kepada Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) untuk terus mengukuhkan kerjasama kedua-dua kerajaan bagi memastikan yang terbaik untuk Sarawak.

Deklarasi Rakyat 4” Tindakan-tindakannya sebelum ini telah membuktikan hal ini dan kita mengharapkan sumbangan yang lebih daripada beliau demi kepentingan rakyat Sarawak,” jelasnya.

Dalam kenyataan itu, Fadillah turut membidas Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang disifatkannya sebagai gagal memisahkan diri daripada amalan politik kotor dan tidak berprinsip, seperti rakan-rakan dan bosnya di Kuala Lumpur.

Beliau menyentuh tentang tulisan Baru Bian dalam portal berita Malaysiakini semalam.

Dalam portal tersebut, Baru menasihati Adenan supaya menjauhkan diri dari Najib yang disifatkan sedang membilang hari untuk jatuh.

” Adenan seharusnya menjarakkan diri dari Najib dan mengelakkan untuk terus memujinya setiap kali Perdana Menteri itu datang.

” Jika tidak, kami akan meminta rakyat Sarawak untuk melakukannya menerusi peti undi pada pilihan raya akan datang.

” Masa untuk berubah telah tiba,” kata Baru dalam tulisannya. – SARAWAKVOICE.COM