Anwar sepatutnya menjadi Perdana Menteri hari ini – Dr Mahathir

Foto Instagram @anwaribrahim_my

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya sudah menjadi Perdana Menteri hari ini, kata Tun Dr Mahathir.

Namun, mantan Presiden UMNO itu berkata, jika beliau bukan Perdana Menteri ‘hari ini’, maka ia adalah kerana perbuatan beliau sendiri.

“Beliau tidak memberikan saya sebarang pilihan selain menyingkirkannya.”

“Saya melakukan apa yang saya rasa terbaik untuk negara. Saya mungkin telah melakukan banyak kesilapan, tetapi menyingkirkan Anwar bukanlah satu daripadanya” kata Tun Dr Mahthir Mohamad dalam autobiografi, A Doctor in the House yang diterbitkan pada 2011.

Autobiografi tersebut telah juga diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia dengan judul Doktor Umum.

Dr Mahathir telah memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 sehingga kemudiannya mencetuskan gelombang reformasi. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat lahir hasil gerakan dan sentimen anti-Mahathir yang kuat ketika itu.

Anwar kemudiannya dibelasah Ketua Polis Negara di Bukit Aman sehingga matanya lebam, dan imej itulah memberi kelebihan kepada pembangkang apabila digunakan sebagai poster dalam pilihan raya umum 1999.

Anwar kemudian dihumban ke dalam penjara di bawah pemerintahan yang dianggap bersifat kuku besi. Mahathir merupakan antara 10 musuh utama media mengikut ranking dunia kerana mencengkam kebebasan media melalui pelbagai akta, termasuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang memberi kuasa mutlak kepada menteri untuk tidak meluluskan lesen atau menggantung lesen penerbitan.

Sementara  Barat menyifatkan mantan Perdana Menteri itu sebagai keras kepala, perkauman, anti-Yahudi, dan angkuh, beliau pula menyifatkan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Anwar dianggap pemimpin politik yang berwibawa dan hanya selangkah lagi ke pintu Pejabat Perdana Menteri.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu telah didapati bersalah oleh mahkamah sehingga membawa kepada pemenjaraan beliau di Sungai Buloh atas dakwaan kes liwat.

tun vs anwarBuku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM, merupakan antara sebab Anwar jatuh.

Dr Mahathir tidak pernah terlepas daripada kontroversi. Beliau ‘berkelahi’ dengan Istana, menyingkirkan timbalannya dalam tempoh 22 tahun pemerintahan, malah digambarkan sebagai diktator.

Tetapi Dr Mahathir merupakah arkitek yang telah berjaya mengubah landskap negara ini, dan mentransformasikannya dari semua segi.

Semalam, beliau berada di atas pentas politik yang sama di Kuala Lumpur dengan seteru politiknya, terutama pemimpin DAP yang menjadi pengkritiknya untuk puluhan tahun.

Beliau juga telah menyampaikan salam kepada Anwar melalui Menteri Besar Selangor, Azmin Ali. Sehari sebelum itu, Anwar menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan Dr Mahathir.

Adakah kedua-duanya akan berbaik-baik semula selepas bermusuhan sekian lama?

Anwar kini untuk kali kedua terpaksa meringkuk dalam penjara kerana didakwa dan didapati bersalah melakukan hubungan homoseksual dengan pembantu beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Dengan perkembangan politik semasa, mantan Perdana Menteri itu bersedia untuk melakukan apa-apa sahaja walaupun terpaksa bersekongkol dengan musuh ketatnya suatu ketika dahulu.

“Keutamaan kami menyingkingkirkan Najib, soal siapa pengganti adalah perkara kedua. Saya boleh kempen untuk sesiapa saja yang hendak menggantikan Najib,” katanya.

Adakah Anwar salah seorang daripada calon Perdana Menteri?

Sebanyak 58 tokoh telah menandatangani Deklarasi Rakyat di hadapan wartawan tempatan dan antarabangsa semalam, sehingga ucapan perlu disampaikan dalam bahasa Inggeris.

Kini,  Dr Mahahtir bersedia bekerjasama dengan Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim.

Dalam autobiografi terbabit, beliau berkata:

mahathir maverick_0000“Saya adalah seorang yang pemaaf. Saya memulihkan kerjaya ramai orang yang cuba menggugat saya dalam politik. Malah saya menamakan salah seorang daripada mereka sebagai pengganti saya selepas Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Bagaimanapun, saya mendapati sukar untuk memaafkan Anwar kerana menjadikan saya ‘dajal di mata dunia’.”

Persoalannya, adakah Najib akan memaafkan Dr Mahathir? Dan, adakah Dr Mahathir juga bersedia memaafkan Najib?

Sementara itu, Bernama memetik  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata bahawa Perdana Menteri  dipilih melalui sistem perundangan dan demokrasi, justeru kaedah lain menentukan naik atau turunnya perdana menteri adalah tidak sah, katanya.

Beliau berkata, kaedah lain itu tidak mengikuti tataetika sebagaimana termaktub dalam perlembagaan dan perundangan negara.

“Undang-undang harus dipatuhi dan sistem demokrasi yang sama kita dakapi harus terus hormati. Jika seseorang itu pernah memerintah, tentu orang itu tidak mahu keadaan ini berlaku jika (semasa) beliau memerintah.

“Jangan melakukan sesuatu di luar tataetika … tetapi saya tidak merujuk kepada mana-mana tokoh tertentu hanya tafsiran terbuka supaya kita menghormati perundangan dan perlembagaan,” katanya di Melaka. – SARAWAKVOICE.COM