Anak didik, Menteri UMNO bidas Mahathir

1. Ramai yang terkejut dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin UMNO yang sanggup bekerjasama dengan pihak pembangkang hari ini semata-mata untuk menumbangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

2. Tun Mahathir serta beberapa pemimpin UMNO ini seharusnya sedar bahawa tindakan sebegini bukan sahaja memberi kesan kepada Perdana Menteri, tetapi juga kepada parti, kerajaan dan negara.

3. Di saat kita di saf kepimpinan sedang bertungkus-lumus memastikan ekonomi dan keselamatan awam dijamin demi kesejahteraan rakyat, Tun Mahathir, beberapa pemimpin UMNO dan pihak pembangkang terlalu rakus dengan agenda menjatuhkan Perdana Menteri.

4. Kestabilan yang selama ini menjadi tonggak kekuatan kita cuba dihakis semata-mata untuk menjayakan agenda politik penuh kebencian.

5. Saya tidak faham bagaimana Tun Mahathir serta beberapa pemimpin UMNO ini boleh duduk semeja dengan pemimpin PKR, PAS, DAP, AMANAH serta NGO-NGO lain semata-mata untuk menumbangkan Perdana Menteri

6. Lupakah mereka bahawa NGO-NGO inilah yang bermati-matian mahu menjatuhkan kerajaan sebelum ini melalui beberapa siri demonstrasi jalanan.

7. Lupakah mereka bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang inilah suatu ketika dahulu yang menggelarkan Tun Mahathir sebagai ‘Firaun’.

8. Sebilangan pemimpin-pemimpin UMNO ini seolah-olah cuba mengambil alih peranan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan yang sah ketika ini. Mereka harus menghormati sistem demokrasi yang kita junjung. Tindakan mereka hari ini jelas bertentangan dengan nilai dan prinsip perjuangan yang mereka pegang selama ini.

9. Saya harap ahli-ahli UMNO faham bahawa Tun Mahathir sudah keluar dari UMNO dan kini mula bergabung dengan pembangkang, justeru tindak-tanduknya sudah pasti tidak lagi mengambil kira kepentingan UMNO.

10. Malah, tindakan Tun Mahathir hari ini, tidak langsung mencerminkan sifat-sifat seorang negarawan yang menghormati sistem demokrasi, cintakan perpaduan dan mementingkan kesejahteraan rakyat.

– Datuk Seri Hishamuddin Hussein