Pilihan raya berasingan beban dari segi kos

KUCHING:  Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) berpendapat bahawa pilihan raya berasingan di seluruh negara akan menimbulkan beban dengan kos akan melonjak berlipat kali ganda berbanding pilihan raya serentak.

“SPR bersedia mengadakan pilihan raya berasingan untuk seluruh negara, tetapi ini akan membebankan dari segi kos dan sumber manusia,” kata pengerusinya selepas taklimat kepada media tentang pilihan raya Sarawak, di sini, semalam.

Beliau ditanya untuk memberi reaksi tentang cadangan Ketua Menteri Sarawak perlunya kerajaan persekutuan mencontohi langkah Sarawak.

Kini Sarawak merupakan satu-satunya negeri mengadakan pilihan raya negeri dan parlimen secara berasingan.

Sarawak mengadakan pilihan raya selang sekitar  dua tahun sekali, mulai 1979.

Namun, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pilihan raya bagi kerusi parlimen dan negeri dapat diadakan berasingan jika semua pihak bersetuju dengan cadangan itu.

Baginya, jika semua negeri bersetuju mengadakannya berasingan, hal itu tidak menjadi masalah bagi SPR.  

Ketua Menteri mencadangkan konsep pilihan raya berasingan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diamalkan di Sarawak, dilaksanakan di seluruh negara,  baru-baru ini.

Dengan kaedah itu, kata Tan Sri Adenan Satem, lebih mudah untuk mengukuhkan jentera parti serta mengenal pasti kelemahan di sesuatu kawasan.

 “Kita berharap, satu hari nanti kaedah sama dilaksanakan di seluruh negara kerana ia terbukti mampu mengukuhkan kemampuan parti,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM