Lelaki 74 tahun, hilang 11 jam di dalam hutan Dalat

MUKAH: Selepas dilaporkan hilang lebih 11 jam, akhirnya lelaki warga emas  Fredrick Charles, 74 ditemui dalam keadaan lemah berteduh bawah pokok dalam hutan di Kampung Balan Dalat, di sini, pagi tadi.

Mangsa ditemui pasukan penyelamat duduk bawah pokok berseorangan kira-kira jam 9 pagi tadi.

Jurucakap bomba berkata, mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, walaupun lemah tapi masih dalam keadaan stabil.

“Mangsa dibawa keluar, diberikan rawatan dan operasi tamat pada jam 10 pagi,” katanya.

Fedrick dilaporkan tersesat ketika pergi ke hutan pagi semalam dan ahli keluarga hanya membuat laporan polis kira-kira jam 9 malam tadi.

Polis kemudian memaklumkan kehilangan warga emas itu kepada bomba dan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, bersama polis serta  penduduk kampung terbabit dalam SAR.

Operasi pencarian dijalankan di sekitar sungai serta kawasan kebun dimana mangsa dilaporkan hilang. – SARAWAKVOICE.COM