Kebebasan ada tanggungjawabnya, kata Wisma Putra kepada Jabatan Negara AS

KUALA LUMPUR: Malaysia berpegang kepada hak kebebasan bersuara dan maklumat, namun mahu rakyatnya bertanggungjawab dalam amalannya, kata Wisma Putra.

Kenyataan Wisma Putra itu yang dilihat sebagai reaksi terhadap kebimbangan Washington DC ekoran tindakan kerajaan menggantung Malaysian Insider baru-baru ini kerana dianggap melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Agensi berita antarabangsa Reuters memetik, John Kirby, seorang pegawai  dari Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) sebagai berkata, Washington “sangat khuatir” dengan sekatan Malaysia terhadap laporan isu ehwal semasa domestik baru-baru ini.

Kementerian Luar, berkata larangan terhadap portal berita itu diambil selepas pertimbangan yang sewajarnya dalam melindungi keamanan negara ini.

“Malaysia berpegang kepada kebebasan bersuara dan hak memperoleh maklumat,  namun ia perlu diamalkan secara bertanggungjawab dan  dengan penuh akauntabiliti.

“Kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan keharmonian di dalam negara ini serta melindungi nilai-nilai kaum dan budaya, norma-norma serta amalan di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Malaysia menghargai hubungan “progresif” dengan Amerika Syarikat (AS),  dan percaya sentimen itu turut dikongsi AS.

“Malaysia juga percaya bahawa hubungan dua hala sedia ada boleh dikukuhkan lagi ke tahap yang lebih tinggi menerusi kerjasama yang lebih erat serta lebih memahami isu-isu domestik di Malaysia,” katanya.