Jangan persenda ibadah  umrah orang lain, kata Mufti Perlis

KUCHING: Meskipun berbeza pandangan dan pendirian politik,  ia tidak memberi hak kepada individu atau pihak berkenaan untuk mempertikaikan dan mempersendakan  ibadah orang lain sesuka hati, kata Mufti Perlis.

Komen itu dikemukakan beliau di tengah-tengah pelbagai komen negatif  dan usaha mempersendakan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mengerjakan umrah ketika lawatan kerja ke Arab Saudi.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kini dalam rangka lawatan kerja ke Arab Saudi selama empat hari sejak Isnin lalu.

“Sekalipun jika berbeza pandangan politik ataupun tidak suka dengan beliau (Najib), soal ibadah seseorang biarlah antara dia dan Tuhan” kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul

Mufti  Perlis tampil dengan kenyataan berlainan daripada pandangan dan komen  netizen di alam maya.

Dalam laman sosial beliau, Asri berpendirian  biarpun setiap pihak mempunyai perbezaan politik, soal ibadah seseorang tidak sewajarnya dipersendakan secara sesuka hati.

“Tidak perlu kita mempersendakannya. Lagipun saya tidak lihat beliau kata bahawa ibadahnya itu memadamkan segala apa yang dipertikaikan oleh rakyat.

Katanya, urusan beliau dan rakyat adalah apa-apa yang membabitkan soal ketelusan dan amanah dalam pentadbiran negara ini.

“Persoalan peribadi seperti kenapa beliau solat, puasa, umrah dan haji, hendaklah diserahkan kepada Allah,” tulisnya. – SARAWAKVOICE.COM