Jangan cemar imej Islam: Taib

MIRI: Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya mengikut ajaran agama Islam yang sebenar bagi mengelakkan imej agama itu dicemari oleh pihak pelampau, yang menggunakan nama Islam untuk menghalalkan keganasan.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, ajaran Islam yang diturunkan oleh para Nabi dan Rasul adalah untuk keamanan dan bukannya untuk menindas agama lain.

” Dalam negeri yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan berbeza agama dan budaya, Islam menggalakkan umatnya untuk hidup aman damai bersama-sama masyarakat bukan Islam,” katanya semasa berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Wakaf dan Pecah Tanah Masjid Baru Bakam, di sini pagi tadi.

Jelas Taib, kefahaman tentang keharmonian kaum ini penting kerana Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan.

” Tindakan pihak pelampau yang menggunakan nama Islam untuk mencapai agenda peribadi dengan menghalalkan tindakan agresif dan menindas masyarakat bukan Islam telah memberikan implikasi yang besar terhadap kehidupan masyarakat Islam seluruh dunia.

Cara sebegini katanya, bukan cara yang dianjurkan oleh agama Islam.

” Oleh itu masyarakat Islam harus bersatu dan tidak berpecah-belah jikamahu nama Islam itu dipertahankan,” ujarnya.

Pada majlis itu, Taib menyeru supaya institusi masjid memainkan peranan yang penting dalam mendidik generasi muda untuk menghayati ajaran Islam yang betul dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap badan-badan kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengurusan agama Islam akan meneruskan perjuangan mereka dalam mempromosikan agama Islam sebagai agama keamanan dan menghormati agama lain.

Selain merasmikan masjid, Taib turut merasmikan Dewan Masyarakat Bakam yang telah diluluskan pembinaannya pada Pilihan Raya Negeri 2011, sewaktu beliau masih memegang jawatan Ketua Menteri.

Taib turut menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM250 ribu bagi pembinaan Wakaf Masjid Baru Bakam.

Turut menyumbang, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Lambir, Ripin Lamat, masing-masing sebanyak RM50 ribu.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang pula menyumbang sebanyak RM35 ribu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Rosey Yunus, dan mantan ADUN Lambir, Datuk Yusuf Sani Wahab, masing-masing menyumbang RM10 ribu.

Majlis Islam Sarawak turut menghulurkan sumbangan sebanyak RM100 ribu.

Pembinaan Masjid Baru Bakam di kawasan seluas 34 ekar ini adalah bagi menggantikan Masjid Darul Khairat yang ketika ini hanya dapat menampung seramai 200 jemaah dari Kampung Raan, Kampung Pusil, Kampung Siwak Jaya dan beberapa kampung berhampiran.

Pertambahan penduduk memerlukan pembinaan sebuah masjid baru yang dapat menampung seramai 800 orang jemaah pada satu masa. – SARAWAKVOICE.COM