Kakitangan RELA buat tuntutan palsu dihidu Suruhanjaya Pencegah Rasuah

KUCHING: Tindakan seorang kakitangan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengemukakan tuntutan palsu pada empat tahun lalu, ‘memakan diri’ apabila perbuatannya itu berjaya dihidu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perbuatan penolong pegawai Rela Asajaya itu mengundang padah apabila dicekup pihak SPRM di pejabat agensi itu di sini pagi semalam.

Menurut sumber SPRM, hasil risikan dan siasatan mereka, pelaku didapati telah membuka dokumen tuntutan yang mengandungi butiran palsu kepada pejabat Rela negeri sekitar pertengahan tahun 2012.

Katanya, pelaku berusia 44 tahun itu telah ditahan bagi membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan SPRM dan seorang penjamin.

“Dipercayai dia telah mengemukakan tuntutan elaun untuk 68 anggota Rela yang bertugas sepanjang April 2012 sebagai pelapor peti undi di kawasan Asajaya dengan amaun kira-kira RM14,000.

“Sedangkan jumlah anggota Rela yang bertugas ketika itu tidak sampai pun jumlah yang dituntut, ” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu tersebut, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi. – SARAWAKVOICE.COM