KUALA LUMPUR: Tidak pernah sesiapa sangka Mahathir akhirnya terpaksa melutut kepada seteru politik nombor satunya untuk mencapai satu cita-cita politik terakhirnya, kata blog MyKMU.net, hari ini.

Katanya, pada usia 90-an, Tun Dr Mahathir Mahathir Mohamad, akhirnya sudah boleh pergi dengan aman suatu ketika nanti tanpa meninggalkan lagi legasi politik kebencian melampau antara kedua-dua Kabilah ini.

Katanya, suatu ketika dahulu gerakan menukar kepimpinan UMNO tidak membabitkan pakatan dengan pembangkang kerana ia dibantah oleh ponyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri. Sungguhpun Dr Mahathir keluar parti dan ada pemimpin pembangkang datang program yang dianjurkan, tidak pernah wujud pakatan dengan pihak lawan.

Hari ini generasi baharu penyokong Dr Mahathir sudah tidak peduli semua itu. Roh dan jiwa parti sudah dijual demi kuasa dan ego!, katanya lagi.

Kata blog itu: “Setelah hampir 18 tahun negara dipisahkan oleh politik kebencian antara kabilah Mahathir Mohamad dan kabilah Anwar Ibrahim, hari ini Mahathir dan Azmin Ali menutup satu sejarah panjang pertelingkahan bangsa Melayu di Tanah Melayu ini.”

Hari ini, Mahathir dan proksi Anwar Ibrahim, Azmin Ali, bersama-sama menandatangani persefahaman untuk menjatuhkan Perdana Menteri Mohd Najib Razak di Kuala Lumpur.

“Ini satu sejarah besar bahawa di sebalik pelbagai serangan dan hentaman Mahathir ke atas Anwar, Anwar tetap berdiri gagah dalam politik negara. Dan biar pun berada di sebalik tirai besi, akhirnya Anwar masih mampu menundukkan Mahathir,” katanya lagi..

Kata blog itu, mungkin ini ini satu hikmah terbesar kepada perpaduan Melayu dan Islam. Akhirnya, orang Melayu yang saling membenci kerana Mahathir menyingkirkan Anwar Ibrahim boleh “disatukan” kembali.

Mohd Najib mungkin faktor negatif dalam perpaduan ini, tambahnya lagi,  namun ia masih merupakan alat penyatuan Melayu kerana tanpa persamaan untuk menjatuhkan Mohd Najib hampir mustahil Mahathir akan tunduk kepada Anwar Ibrahim.

Persefahaman ini yang menandakan berakhirnya perseteruan politik yang penuh kebencian antara Kabilah Mahathir dan Kabilah Anwar Ibrahim.

Justeru,  Mohd Najib bukan sahaja agen perdamaian Bangsa Moro dan Wilayah Pattani,  tetapi juga berjaya menyatukan dua kabilah Melayu, Mahathir – Anwar, dari terus bergaduh dan membenci kerana kuasa.