Ahli parlimen Sarawak hilang pistol, tunai RM30 ribu

Foto The Borneo Post

KUCHING: Sepucuk pistol dan wang tunai berjumlah RM30 ribu kepunyaan seorang Ahli Parlimen dari negeri ini lesap sekelip mata apabila kereta jenis Toyota Hilux miliknya menjadi mangsa terkini kes pecah kenderaan di bandar raya ini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Ng Ah Lek yang mengesahkan kejadian berkata, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.30 petang di kawasan parkir bangunan komersial berhampira Balai Polis Sungai Maong, Batu Tiga, dekat sini.

Senjata dan wang tunai milik wakil rakyat terbabit dikatakan diletakkan di dalam sebuah beg yang ditinggalkan di lantai bahagian penumpang hadapan kenderaannya, ketika kejadian berlaku.

” Sebelum itu, mangsa baharu mengeluarkan wang tunai tersebut dari sebuah bank di Kota Sentosa, dan meletakkannya dalam sampul surat.

” Sampul surat itu kemudian diselitkan ke dalam beg sandang yang turut digunakan untuk menyimpan sepucuk pistol jenis Browning,” katanya.

Setelah itu, mangsa menuju ke pusat komersial itu untuk membeli peralatan kebun sebelum kembali sekitar sepuluh minit kemudian dan menyedari keretanya dipecahkan dan beg tersebut hilang.

Ng berkata, seorang saksi memberitahu polis, dua lelaki yang mencurigakan dilihat berkeliaran di kawasan tersebut sebelum kejadian.

” Penumpang motosikal terbabit dilihat menghampiri pacuan empat roda terbabit yang sedikit terlindung sebelum tergesa-gesa melarikan diri,” katanya.

Siasatan masih dijalankan dan polis masih memburu dua lelaki yang disyaki itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – SARAWAKVOICE.COM