10 ribu pengunjung dijangka ke perkampungan usahawan, pelabur terbesar di Sarawak

KUCHING: Lebih 10 ribu pengunjung dijangka memperoleh faedah daripada perhimpunan terbesar para usahawan, pemula perniagaan dan pelabur, yang dikenali sebagai “GREAT 2016” pada 3 dan 4 April depan di Kuching.

Program dua hari yang dianjurkan Gabungan Rakan Entrepeneur Aspirasi Terhebat (GREAT) ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo dekat sini dan dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Siregar berkata, GREAT 2016 merupakan inisiatif kementeriannya bersama-sama Pejabat Pembangunan Usahawan Nasional (NEDO) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (Magic) serta Kerajaan Negeri untuk membangunkan usahawan muda dan berpotensi di seluruh negara.

Perhimpunan ini jelasnya, akan menjadi platform kepada para usahawan untuk menimba ilmu selain memperoleh pandangan, khidmat-nasihat, serta peluang mendapatkan sokongan dan bantuan pelbagai agensi kerajaan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Pada masa yang sama katanya, pakar pelbagai industri seperti kebudayaan, pelancongan, runcit dan keusahawanan sosial turut hadir untuk membantu pelbagai peringkat usahawan dan bakal uaahawan.

Selain itu agensi kerajaan pusat dan negeri seperti MDec, Teraju, Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera dan Industri Halal (UPUBIH -JKM) serta Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak turut terlibat.

Sehubungan itu, Irwan Siregar menjemput kalangan usahawan tempatan bukan sahaja datang berkunjung, malah menjadi sebahagian daripada peserta program.

Katanya, program 1MET Bootcamp turut disediakan kepada pemula perniagaan dan usahawan sosial selama dua hari bagi mencambah minda tentang bidang perniagaan yang bakal diceburi.

Turut diadakan ialan MaGIC Enterpreneur Bootcamp bagi melatih usahawan tentang proses asas dalam perniagaan sambil memberi tips terhadap perniagaan baharu.

Selain berpeluang menyertai sesi bersemuka dengan usahawan berjaya, turut diadakan ialah “Sales Challenge” yang terbuka usahawan terpilih.

Sebanyak 55 gerai dibuka kepada usahawan tempatan pada program ini, dan mereka akan mempromosikan jenama mereka di Marketplaze.

Untuk tujuan menggalakkan penyertaan golongan usahawan berbakat dan peminat perniagaan, Pengarah UPUBIH Sarawak, Samat Junai berkata, pihaknya akan menawarkan pengangkutan percuma dari seluruh negeri bagi mereka yang berminat menyertai program ini.

Ini merupakan penganjuran kedua GREAT selepas diadakan di Magic, Putrajaya pada tahun 2014, yang berjaya menarik perhatian 6000 pengunjung. – SARAWAKVOICE.COM