Tekad Azman Ujang untuk BERNAMA lebih pantas dan sahih

PUTRAJAYA: Anak Sarawak yang mencipta sejarah sebagai Pengerusi BERNAMA yang baharu, Datuk Seri Azman Ujang berazam untuk memastikan agensi berita itu kekal sebagai pembekal berita yang pantas, sahih dan berkredibiliti.

Katanya, ia selaras dengan perubahan dalam landskap media yang begitu pantas hari ini, dan BERNAMA perlu senantiasa melakukan penambahbaikan dari aspek perkhidmatan dan pemberitaan.

Sejurus menerima surat pelantikan sebagai Pengerusi Bernama daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak semalam, Azman berkata, Salleh melontarkan cabaran kepadanya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pemberitaan agensi terbabit.

“Saya dan pasukan di BERNAMA telah cukup berpengalaman, dan akan sama-sama melakukan penambahbaikan dari semua segi.

” Ini termasklah darin aspek kualiti pemberitaan, kepelbagaian berita dan nilai berita dari semasa ke semasa untuk memastikan agensi ini terus kekal relevan dalam memainkan peranan seperti yang diamanahkan.

Memetik jawapannya kepada BERNAMA, Azman menjelaskan, dengan wujudnya media sosial dan media alternatif, BERNAMA harus bergerak lebih pantas, celap dan paling penting menyalurkan berita sahih.

Azman, menyandang pelbagai jawatan di BERNAMA dalam kariernya yang menjangkau 37 tahun termasuk dilantik sebagai Ketua Pengarang pada 2004 sebelum bersara sebagai Pengurus Besar pada 2008.

Beliau menyifatkan pelantikan sebagai ‘begitu sentimental’ dan penghormatan tinggi kepada beliau.

“Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga menteri (Salleh) yang mencalonkan nama saya sebagai Pengerusi.

“Kalau ditanya, saya memang tidak menyangka bahawa suatu hari saya akan dilantik menjadi Pengerusi BERNAMA. Saya ingat bersara sebagai Pengurus Besar merupakan jawatan terakhir saya di sini,” katanya yang pada 2 Februari 2008 dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dengan Darjah Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri.

Pengalaman panjang Azman dalam bidang kewartawanan dijangka dapat memberi suntikan baharu kepada agensi itu, apatah lagi dalam berhadapan cabaran pemberitaan yang kompetetif hari ini.