Surat Rosli Dhobi kepada ayah, ibunya sebelum digantung

KUCHING: Bagi Rosli Dhobi, dia sentiasa ingat akan orang tuanya menjelang harihari dia digantung di Penjara Kuching, temapt dia meringkuk. Rosli  sebenarnya menulis sekurang-kurangnya empat pucuk surat; dua pucuk untuk ayah dan ibunya, termasuk yang di bawah ini.

Berbanding sepucuk lagi surat yang banyak diketahui orang ramai, termasuk yang dipamerkan di Muzium Sarawak, surat yang didedahkan di bawah ini, belum lagi diketahui ramai.  

Pada 24 Februari 1950, sekitar tiga bulan selepas dia menghunjamkan pisau ke perut Duncan Stewart pada 3 Disember 1949,  Rosli telah menulis sepucuk surat kepada ibu dan bapanya.

Surat yang beralamat “Prison, Kuching” itu dibenarkan untuk dikeluarkan setelah dicop oleh penguasa penjara.

Dalam surat itu,  Rosli  yang tahu dia sedang menghitung hari, meluahkan perasaannya:

Menjelangi Yang mulia ayahanda dan bonda kita, Kg. Pulo, Sibu, Sarawak

Ayahanda,

          Dengan segala hormatnya anakanda menyatakan pada ayahanda dan bonda serta ahli-ahli kita sekalian yang ada; iaitu anakanda adalah di dalam selamat dan sihat. Pasal makanan anakanda di sini serta minuman sama ada tidur dan mandi semuanya cukup belaka. Dari itu anakanda harap kepada ayahanda dan bonda janganlah bersusah hati terhadap hal kesihatan anakanda di sini.

        Dan anakanda harap mudah-mudahan anakanda selamat dan panjang umur berkat doa kita siang dan malam, sampai kita boleh berjumpa dan diam lagi semua dengan aman seperti sedia kala;  jika dengan takdir dan izin Yang Maha Berkuasa Allah Subha nahu Wataalah.

        Dari itu anakanda mohonkan perasaan hati ayahanda dan bonda serta semua ahli-ahli kita hendaklah disenangkan dan disabarkan supaya tidak jadi melarat. Doakanlah anakanda siang dan malam.

  Pasal keputusan anakanda bolehlah didengarkan sedikit bulan lagi. Insya-Allah selamat!!! Dan jangan lupa ayahanda minta ahli kita sembahyang hajat.

          Sekianlah dapat anakanda huraikan untuk maklum ayahanda dan bonda serta semua ahli-ahli kita. Dan wasalam peluk cium anakanda kepada ayahanda dan bonda; serta ampun dan maafkanlah mana-mana kesalahan anakanda dan sampaikanlah salam hormat dan bahagia anakanda kepada semua ahli-ahli kita; dan kawan anakanda. Adik Ainnie jangan lupa suruh pergi sekolah hari-hari dan jangan mengikut langkah saya.

Sesampai surat ini, suruhlah ahli-ahli dan kawan-kawan saya membaca. Dan surat saya yang dua ini tolong berikan dengan Wan Mahsen, bilang dengannya suruh sampai dengan orang yang anakanda telah alamatkan, dan adanya. Menunggu jawap dari ayahanda dengan yakin.

Wasalam yang taat dan setia”

Surat asal itu kini disimpan oleh seorang anak saudaranya, Bolhassan Ainnie yang kini menetap di Sibu.

Berdasarkan kandungan surat ini, tujuan utama Rosli adalah untuk mententeramkan perasaan ayah dan ibunya agar tidak perlu risau dengan keadaannya di penjara.

Beliau meminta ayah dan ibunya bertenang, bersabar dan tidak susah hati. Perkara yang menarik dalam dalam surat itu ialah sikap optimisnya.  

Rosli berpegang kepada semangat di sebalik prinsip Dum Spiro Spiro – Berharap Selagi Bernafas. Beliau masih menaruh harapan bahawa dia tidak akan dikenakan hukuman gantung.

Beliau meminta kaum keluarganya berdoa dan mengadakan sembahyang hajat, dengan harapan mereka dapat terus hidup seperti dahulu.

Ketika surat itu ditulis, Rosli tidak menduga sama sekali bahawa dia sebenarnya tidak mempunyai masa yang lama lagi. Beliau percaya rayuannya akan mengambil masa beberapa bulan, berdasarkan ayat, “ Pasal keputusan anakanda bolehlah didengarkan sedikit bulan lagi.”

Ayat ini merujuk kepada rayuannya ke Majlis Privy. Dan, beliau berharap beliau akan selamat, dengan izin Allah SWT.

Di dalam surat iaitu, Rosli juga berpesan kepada adiknya Ainnie  agar tidak ponteng sekolah, sebaliknya perlu ke sekolah tiap-tiap hari, dan agar Ainnie tidak mengikut jejak langkahnya, iaitu membunuh.

Kelihatannya, Rosli juga ada menulis dua pucuk surat lagi. Pasti beliau meminta ibu bapanya supaya menyerahkan surat itu kepada Wan Mahsen. Wan Mahsen pula diminta agar menyampaikan dua pucuk surat itu kepada orang yang dituju. Kepada siapakah surat itu dituju? Adakah kepada kekasihnya Ani?

Surat yang satu lagi agaknya dituju kepada siapa? Apakah kandungan surat itu?

Surat berkenaan tidak dapat dikesan sehingga kini. –SarawakVoice.com

BACA JUGA: 

Rosli Dhobi pejuang paling berani: Boestamam

Rakan dedah senjata sebenar Rosli Dhobi bunuh Duncan Stewart

Detik-detik akhir Rosli Dhobi ke tali gantung subuh, 2 Mac 1950