Sumatera Barat digoncang gempa bumi 7.9 magnitud

JAKARTA: Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat  digoncang gempa bumi berskala 7.9 magnitud  sekitar  8.49 malam tadi waktu Malaysia atau 19.49 Waktu Indonesia Barat (WIB) .

Lokasi pusat gempa adalah di 4.92 Lintang Selatan, 94,39 Bujur Timur, iaitu sekitar 808 km ke barat daya Padang. Kedalaman gempa 10 Km.

Pihak kerajaan Indonesia malam tadi, mengeluarkan amaran tsunami untuk wilayah Sumatera Barat, Aceh, Bengkulu, Sumatera Utara, dan Lampung.

Setakat ini, belum ada laporan kerosakan atau kemalangan jiwa.

Detik.com melaporkan  gempa itu menyebabkan  warga Pulau Siberut Selatan lari ke pergunungan.

Setelah peringatan tsunami ditarik balik  dua jam kemudian oleh pihak kerajaan, warga kembali ke rumah masing-masing.

Sebelum itu, ada penduduk yang menyatakan, mereka bagai diayun, dengan ada warga mendakwa  merasainya selama lima minit.

Walaupun sudah kembali ke rumah masing-masing, orang ramai diminta tidak terlena dan tetap waspada. “ke mana pun warga tetap harus waspada meski berada di dalam rumah,” kata pihak berkuasa, seperti dipetik portal itu.

Bekalan elektrik dan telefon  di Pulau Siberut Selatan dilaporkan tidak terputus.

Portal itu juga melaporkan  terjadi tanah runtuh di Panorama Kelok Cindeu, Kelurahan Kayu Kupuh, Kecamatan Gubuk Panjang, Kota Bukittinggi sekitar pukul 8.40 malam atau 9 WIB.

Tanah runtuh tersebut akibat goncangan gempa yang kuat sehingga menutup jalanan di lokasi dan menimpa bangunan di bawah.- SARAWAKVOICE.COM