Sheikh Aidh penulis bestseller La Tahzan cedera ditembak


MANILA – Ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Aidh Bin Abdullah Al-Qarni cedera setelah ditembak oleh seorang lelaki di Zamboanga, Filipina, Selasa lalu.

Memetik agensi AFP, Sheikh Aidh al-Qarni,56, dikejarkan ke hospital sejurus selepas itu bagi mendapatkan rawatan awal.

” Mujur tembakan itu tidak mengancam nyawanya dan beliau sudah melepasi fasa bahaya,” kata jurucakap polis Zamboanga, Inspektor Helen Galvez.

Sementara itu, Agensi Saudi Press yang memetik kedutaan Arab Saudi di Filipina, berkata keadaan penulis bestseller “La Tahzan” itu kini stabil.

Menurut saksi, penyerang melepaskan tembakan ketika Sheikh Aidh hendak menaiki kenderaan setelah selesai menyampaikan ceramah di Universiti Negeri Mindanao Barat.

Penyerang dikatakan menyamar dengan memakai pakaian seragam penuntut kejuruteraan sebelum mengiringi Syeikh Aidh keluar auditorium.

Akibat beberapa das tembakan, Sheikh Aidh cedera di bahagian lengannya manakala beberapa pengawal peribadinya selamat.

Pasukan keselamatan Filipina kemudian memberi reaksi pantas dan berjaya menembak mati penyerang, yang dipercayai seorang remaja tempatan berusia 21 tahun.

la tahzan ditembak

Zamboanga yang terletak 859 km dari Manila, ibu negara Filipina, merupakan kota yang menempatkan daerah autonomi masyarakat Islam Mindanao.

Susulan serangan itu, Duta Arab Saudi ke Filipina, Abdullah Ibrahim Al Hassan telah mengarahkan sebuah pesawat dihantar segera ke Zamboanga bagi menerbangkan Syeikh Aidh ke Manila untuk mendapatkan rawatan lanjut.

la tahzan bookPada masa yang sama, pihak kedutaan bekerjasama dengan polis tempatan untuk menyiasat punca di sebalik serangan tersebut, yang dipercayai didalangi puak pelampau.

Buku karangan Syeikh Aidh, ” La Tahzan” atau “Jangan Bersedih” amat laris sehingga terjual 120 ribu naskhah dalam bahasa Arab sebelum diterjemahkan ke dalam 29 bahasa dunia.

Bapa kepada sembilan anak ini sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara selama 10 bulan oleh Kerajaan Arab Saudi kerana bersama-sama beberapa ulama pembaharuan lain melakukan protes dan bantahan terhadap kehadiran tentera Amerika Syarikat di negara itu.