Pengamal ajaran sesat dari Indonesia intai menyusup Sarawak

KANGAR: Satu kumpulan ajaran sesat dari Indonesia, Millah Abraham kini dikatakan mengintai peluang untuk bertapak di Sarawak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Bukit Aman, Datuk Awaludin Jadid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa kumpulan ini sedang memberi tumpuan untuk mengembangkan pengaruhnya di kawasan-kawasan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

” Oleh itu, kita minta kerajaan Sarawak berhati-hati dalam meluluskan sebarang permohonan mendapatkan tanah di negeri itu, kerana khuatir ia akan membabitkan pihak terbabit.

” Kita percaya kumpulan ini berhajat menjadikan negeri tersebut sebagai lokasi penempatan mereka, kerana bentuk geografinya yang luas dan tersembunyi,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Islam dan Anti-Terrorisme peringkat kebangsaan di Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis di sini, semalam.

Kata Awaludin, hasil risikan, pihaknya yakin pengikut ajaran sesat dari Sumatera, Indonesia itu kini sedang memilih kawasan sempadan seperti di Sarawak dan Kalimatan untuk menyebarkan ajaran berkenaan.

Pada Oktober lalu, Jabatan Agama Islam Pahang mengesan kewujudan kumpulan serpihan Gerakan Pemuda Kahfi Indonesia yang difatwakan haram ini di Felda Keratong, Muadzam Shah, Pahang.

Kumpulan ini diisytihar sebagai ajaran sesat pada tahun 2009 kerana didapati menyeleweng daripada akidah Islam dan dipercayai mempunyai ramai pengikut di Selangor dan Pahang.

Dianggarkan pengikut ajaran ini berjumlah kira-kira 5,000 orang di seluruh negara dengan mensasarkan dakwah mereka kepada golongan muda yang kurang mendapat didikan Islam.

millah abraham 2

Menurut sumber, pengikut ajaran Millah Abraham ini dikatakan mengaku bukan beragama Islam kerana mendakwa Islam bukanlah agama yang asli.

” Sebaliknya mereka menganggap Millah Abraham sebagai agama sebenar, yang disebarkan hasil ajaran Nabi Ibrahim, selain memgharamkan daging sembelihan orang Islam.

Difahamkan terdapat enam fasa ajaran sesat ini iaitu pertama, dakwah secara sembunyi dan ini sudah dilepasi.

” Kedua, dakwah secara terang-terangan yang merupakan fasa terkini dan ketiga, fasa hijrah.

Fasa keempat ajaran ini katanya lagi, ialah “jihad kital” iaitu membunuh orang yang tidak mengikut ajaran mereka manakala fasa kelima mewujudkan sistem pemerintahan sendiri sebelum fasa keenam, menubuhkan sebuah negara.

Sumber tersebut berkata, fasa keempat dakwah ajaran sesat berkenaan mempunyai unsur-unsur militan dan pasukan keselamatan sedang memantau rapat aktiviti mereka.

Katanya, cara pengikut ajaran sesat ini bersembahyang adalah dengan menyampaikan makna-makna yang terdapat dalam al-Quran menggunakan Bahasa Melayu.

“Mereka mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah tetapi hanya pada waktu itu kerana mereka percaya wujud nabi lain hingga kini selain tidak berpegang pada hadis,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM