Lelaki kurang siuman cetuskan kekecohan di Miri

MIRI: Pengunjung premis perniagaan di Jalan Chua Tze Chin di sini, kecoh apabila seorang lelaki dipercayai kurang siuman bukan saja merayau-rayau tetapi turut memijak dan melompat-lompat atas bumbung kereta milik orang awam, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai warga asing menyebabkan beberapa kenderaan milik pengunjung premis di jalan itu kemek.

Menurut sumber,  berlaku kekecohan apabila lelaki berkenaan enggan turun dari bumbung kereta walaupun didesak orang ramai.

Katanya, berlaku pertengkaran mulut antara lelaki berkenaan dengan orang ramai yang bimbang dengan tindakan lelaki kurang waras itu.

“Apabila dimarah, dia akan turun, kemudian akan panjat atas kereta lain.

“Lelaki itu turut cuba membuka pintu kereta tetapi nasib baik semua kenderaan berkunci,” katanya.

Bagaimanapun,  lelaki berkenaan tidak bertindak agresif menyebabkan orang awam membiarkannya pergi.

“Lebih setengah jam lelaki itu merayau-rayau tanpa tujuan dan memanjat bumbung beberapa kereta orang awam.  Orang awam memujuknya supaya dia pergi dari kawasan itu dan dia nampaknya mengikut arahan orang awam dan terus beredar,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM

orng gila_0000