800 balak bernilai RM280 ribu dirampas di Igan

SIBU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak, merampas 800 balak pelbagai jenis dan saiz dalam serbuan di satu kawasan di Sungai Igan, di sini, awal pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 5, Asisten Komisioner Kalai Chelvan Nadarajan , berkata semua balak yang dirampas dalam serbuan oleh sepasukan anggotanya kira-kira jam 1 pagi itu dianggarkan bernilai RM280,000.

Katanya, serbuan itu dibuat hasil maklumat orang awam yang mengesyaki berlakunya pembalakan haram apabila sejumlah balak yang diikat menjadi rakit disimpan di sungai itu.

“Bertindak atas maklumat itu, anggota kami yang menjalankan Ops Pensura melakukan rondaan di lokasi yang didakwa dan menemui balak pelbagai jenis dan saiz sudah diikat menjadi rakit.

“Hasil pemeriksaan awal, kami mengesyaki balak berkenaan diperoleh secara tidak sah dan anggota yang menjalankan operasi menunggu hampir sejam di lokasi berkenaan namun pemilik balak berkenaan tidak muncul,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kalai Chelvan berkata, semua balak itu dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 85(1) Ordinan Perhutanan Sarawak kerana disyaki memperoleh kayu balak secara haram.

“Kami mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan pembalakan haram yang menjadi agenda utama kerajaan negeri sekarang,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM