KUCHING: Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Sarawak Kuching terus giat memburu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negeri ini.

Sejak minggu lepas, beberapa siri OPS IKRAR telah dijalankan oleh penguat kuasa dalam usaha membendung kehadiran PATI.

Bermula 23 hingga 27 Februari lepas, seramai 208 warga asing diperiksa di sekitar Kuching di 10 lokasi tapak pembinaan dan rumah kongsi pekerja yang dijalankan berasingan.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, seramai 72 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah  Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Seramai 28 lelaki dan dua wanita Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan serta pengenalan diri yang sah.

Selain itu, 15 lelaki lelaki warga Indonesia diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana telah tinggal melebihi masa dan tempoh yang dibenarkan.

Sementara 26 lelaki serta seorang wanita yang juga warga Indonesia ditahan kerana disyaki melanggar Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna Pas Lawatan Sosial.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Imigresen Sarawak, Garry Belayong John Siki ketika dihubungi berkata, pihak penguat kuasa tidak akan memberi muka kepada mana-mana individu atau majikan yang terlibat dalam melindungi dan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tindakan tegas akan diambil.

“Apa yang perlu ialah kerjasama daripada semua pihak terutama masyarakat supaya memberi sebarang maklumat sekiranya mengetahui atau mengesyaki kehadiran pendatang asing tanpa izin di negeri ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan individu atau syarikat supaya mengambil pekerja secara sah.

Kesemua  72  PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Semuja, Serian untuk tindakan dan siasatan lanjut. – SARAWAKVOICE.COM