Mahathir, keluar UMNO, masuk PAS?

Satu déjà vu. Kisah sama berulang apabila untuk kali kedua Tun Dr Mahathir keluar dari UMNO semalam. Kali kedua pada 2008. Kedua-duanya kerana beliau kecewa dengan pemimpin yang dipilihnya sendiri.  Adakah tindakan itu mengejutkan? Tidak juga, kerana jika diteliti kenyataan dan tindakan mantan Perdana Menteri itu beberapa minggu terakhir, jelas beliau memang bagai hendak berpatah arang.

Dan, mungkinkah Dr Mahathir akan kembali ke pangkuan UMNO sekali lagi selepas ini? Beliau sebenarnya pernah dipecat dari UMNO pada 1969, ekoran kritikannya terhadap Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, selepas tercetusnya peristiwa 13 Mei.

Dr Mahathir  berkata dia mengisytiharkan untuk keluar dari UMNO sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana UMNO bukan lagi UMNO yang beliau tubuhkan pada tahun 1988 tetapi hanya menjadi parti untuk mempertahankan Datuk Seri Mohd Najib sebagai Presidennya. Maksudnya, UMNO yang sekarang, bukan UMNO yang dahulu.

“Saya tidak boleh jadi anggota untuk parti sebegini,” katanya dalam sidang media di Wisma Yayasan Perdana, Putrajaya hari ini.

Sesungguhnya, tidak dinafikan, negarawan itu telah banyak memberi sumbangan kepada negara. Di mana Malaysia jika tidak kerana Dr Mahathir. Kerana beliaulah kita adalah KLIA, Lebuh raya Utara-Selatan, Menara Berkembas Petronas, dan ratusan lagi.

Namun, beliau bukan tanpa cacat cela. Zaman Dr Mahathir penuh dengan skandal dan kontroversi. Beliau dilihat amalkan kuku besi, dengan menggunakan pelbagai akta, termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Pada 19 Mei 2008, Dr Mahathir pernah melakukan tindakan sama sebagai tanda protes kepada pentadbiran perdana menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi. Namun, pada tahun 2009, beliau menyertai semula UMNO selepas Tun Abdullah berundur.

Adakah Dr Mahathir, perdana menteri keempat selama 22 tahun, akan kembali ke pangkuan UMNO selepas Najib tidak lagi jadi Perdana Menteri?Atau beliau akan menyertai PAS? Segalanya serba mungkin dalam politik. Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pemimpin UMNO menyertai parti pembangkang. Banyak juga pemimpin UMNO, termasuk mantan Menteri Besar menyertai parti Islam itu.

Adakah kali ini beliau akan mengajak tiga juta ahli UMNO peringkat akar umbi  untuk ikut jejak langkah beliau?  Apakah kesan tindakan beliau terhadap masa depan UMNO? Mampukah beliau menggugat UMNo sehingga UMNO kalah lebih banyak kerusi dalam pilihan raya ke-14 nanti?

Hendak mengatakan beliau langsung tidak mempunyai pengaruh, adalah sesuatu yang naïf meskipun auranya tidak sama dengan auranya ketika masih menjadi PM, dan ketika hendak menumbangkan Abdullah. Jika tidak, mana mungkin UMNO dan BN kalah teruk, dan gagal mempertahankan majoriti dua per tiga dalam pilihan raya 2008. Dr Mahathir merupakan antara faktor utama menguncupnya undi popular dan jumlah kerusi dimenangi  UMNO dan BN.

Tetapi percayalah, Dr Mahathir tidak akan menyerah kalah. Dengan kini sudah berada di laur UMNO, beliau akan terus menyerang kepemimpinan Najib dengan lebih agresif lagi. Kerajaan BN perlu bersedia menangkis serangan Dr Mahathir. Persoalannya, mampukah ia berbuat demikian, apatah lagi jika Dr Mahathir menggerakkan serangannya di alam maya, dan juga di platform politik di seluruh negara? – SARAWAKVOICE.COM

tun keluar