Saturday, May 21, 2022

Kisah pepijat dalam kelambu UMNO

Secara Rawak

KUCHING: Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO mengapa harus membiarkan kelambu parti Melayu itu terjejas dan terbakar dek beberapa ekor pepijat.

Untuk itu, beliau mahu segala langkah diambil untuk mengelak retak mencari belah.

“Jangan sesekali kelambu dibakar kerana beberapa ekor pepijat. Jangan UMNO dibiarkan jadi korban. Kelambu kita telah sekian lama berjasa dan melindungi kita,” katanya menggunakan peribahasa Melayu yang penuh makna.

Komen itu dikemukakan dalam Facebook beliau malam tadi, selepas Tun Dr Mahathir keluar UMNO untuk kali kedua sebagai tanda protes dan kecewa terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.

Kali pertama Dr Mahathir berbuat demikian adalah pada 2008.

Mantan Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu berkata, peristiwa yang terus berlaku dalam politik UMNO nampaknya mula meruncing dan membawa kepada pihak- memihak  dalam kalangan mereka yang dianggap sebagai pemimpin dan pengikut masing-masing.

“Proses pemecatan terus berlaku…

Kesan dari tiada penerimaan perbezaan pendapat dan teguran. Serta kesan dari sindrom ‘orang kita’, dan ‘bukan orang kita. Walhal semuanya orang dan ahli UMNO,” katanya.

“Sambil itu,perang mulut berterusan, kutuk- mengutuk, hentam-menghentam, caci-mencaci, tuduh-menuduh (terus berlaku),” katanya.

Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata,

“Apa yang berlaku sekarang telah memberi imej buruk kepada cara pentadbiran dalam UMNO, dan sudah lari jauh dari cogan kata perjuangan UMNO: Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.”

“Di mana letaknya usaha untuk bersatu. Apa telah jadi pada bersetia kepada UMNO? Dan apakah yang dilakukan dalam konteks berkhidmat?” tanya beliau.

Beliau berkata, masalah-masalah yang dihadapi sekarang tidak mungkin selesai dengan pemecatan, keluar parti, cela-mencela, dan “menunjukkan sifat-sifat yang tidak mencerminkan budaya UMNO yang sewajarnya.”

Beliau bertanya, “mengapakah  dibiarkan UMNO dikeji? Mengapa parti yang telah sekian lama menaungi bangsa dan rakyat dijadikan mangsa kepada kegagalan individu?” – SARAWAKVOICE.COM 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru